Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bahagian mana kartun saya hina Allah, soal Zunar
Diterbitkan:  Apr 12, 2024 5:35 PM
Dikemaskini: 9:49 AM
2

Kartunis Zunar menegaskan dia memadam sebuah karyanya di media sosial kerana menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam isu kalimah Allah dan bukan disebabkan Pemuda PAS Kelantan membuat laporan polis.

"Ya, saya delete kartun tersebut dalam sosial media, tetapi bukan kerana saya takut berdepan dengan laporan polis yang mereka lakukan.

"Saya tahu pasti apa yang yang lukiskan. Cuma saya rasa selepas titah YDPA terbaru, sudah sampai masanya menghentikan karya-karya mengenai isu tersebut," katanya melalui satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Pemuda PAS Kelantan pada 9 April lalu membuat laporan polis di Kota Bharu terhadap laman Facebook Zunar Cartoonist Fan Club dan menuduhnya menghina kalimah Allah.

Pun begitu Zunar berkata dia "tidak akan melayan tindakan oleh Pemuda PAS Kelantan, kerana mereka tidak ada keupayaan untuk berfikir secara intelektual."

"Kerana itu mereka tidak memahami karya-karya kartun satira," katanya.

Gambaran fobia

"Tapi kepada publik ingin saya jelaskan, dalam visual kartun tersebut, bahagian manakah yang dikatakan sebagai menghina Allah atau agama Islam?

"Kepada mereka yang mahu berfikir dengan akal sihat, kartun itu hanya menggambarkan ketakutan atau fobia sesetengah golongan terhadap sesuatu lambang sehinggakan menimbulkan tafsiran berlebihan," jelas pengkarya itu lagi.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 9 April lalu berkenan menerima mengadap pimpinan kanan parti Umno dan DAP di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Dalam satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim, ia menyebut sesi mengadap itu bertumpu kepada perkembangan semasa berkaitan isu-isu sensitiviti agama dan kaum.

Mereka yang hadir adalah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh; Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong.

Pada pertemuan itu Seri Paduka juga mengingatkan pemimpin politik supaya tidak melampau dalam memberikan pandangan mereka tentang isu-isu agama dan perkauman.

“Bukan hanya Umno dan DAP, tetapi juga semua parti. “Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang," titah baginda.

Adalah dipercayai sesi mengadap itu untuk menyelesaikan kekusutan berhubung kedai serbaneka KK Mart yang mengundang kontroversi selepas stoking yang tertera kalimah Allah ditemui di tiga cawangannya, bulan lalu.

Mengulas lanjut, Sultan Ibrahim betitah kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara.

Titah baginda, perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong juga bertitah supaya bermaaf-maafan antara satu sama lain sempena Aidilfitri dan membuka lembaran baru.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Chai Kee Kan, pada 3 April.

Sesi mengadap di Istana Negara, Kuala Lumpur, itu berlangsung selama 15 minit.

Pada sesi mengadap itu, Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka tersebut.

Sultan Ibrahim kemudian bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

Kedai serbaneka KK Mart mengundang kontroversi selepas stoking yang tertera kalimah Allah ditemui di tiga cawangannya.

KK Mart dan bekas pembekalnya kemudiannya memohon maaf atas perkara itu dan mendakwa mereka terlepas pandang.

Pada Mac lalu, Chai, dan isterinya Loh Siew Mui, selaku pengarah telah diheret ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan didakwa dengan pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam.

Mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Selain menjadi sasaran kempen boikot, khususnya daripada Pemuda Umno, tiga kedai serbaneka diserang cubaan bom api.

Lihat Komen
2
ADS