Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ops Lalang: Bekas tahanan ISA mahu k'jaan minta maaf

Hampir semua bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dihubungi Malaysiakini bersetuju dengan gesaan bekas hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus baru-baru ini yang menggesa agar kerajaan memohon maaf atas penahanan dalam Operasi Lalang pada 1987.

Pemimpin PSM dan aktivis buruh Dr Nasir Hashim berkata dia setuju supaya kerajaan membuat permohonan maaf meskipun masa sudah lama berlalu.

“Saya setuju. Meskipun masa sudah berlalu, luka kekejaman, keganasan dan ketidakadilan yang disengajakan itu tidak mudah dilupakan.

"Demi menjaga periuk nasi dan kedudukan, pihak kehakiman, pentadbiran, pemimpin politik, akhbar, RTM, dan keselamatan yang bersubahat di bawah telunjuk kuasa (perdana menteri pada ketika itu) Dr Mahathir Mohamad mereka sanggup korbankan dan memangsakan kami asalkan pekung mereka (ketegangan dalam Umno ketika itu) dapat ditutup rapi,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai timbalan dekan Fakulti Perubatan UKM.

Gambar fail, pemimpin PSM dan aktivis buruh Dr Nasir Hashim.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishamudin ketika menjadi hakim mahkamah tinggi pernah membuat keputusan penting yang berpihak kepada tahanan ISA.

Antaranya pada 2007 apabila dia menganugerahkan gantirugi RM2.5 juta kepada aktivis politik Abdul Malek Hussin kerana ditahan tanpa sah dan kecederaan yang dialaminya.

Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan kemudian memutuskan penahanan Abdul Malek bawah ISA adalah sah dan dia perlu membayar kos mahkamah RM50,000.

Pada 2010, hakim Hishamudin (gambar bawah) memerintahkan agar RM3.3 juta dibayar kepada bekas tahanan ISA seorang ahli perniagaan Badrul Zaman PS Mohamed dan mahkamah bersetuju bahawa penahanannya pada 1994 menyalahi undang-undang serta tidak mengikut perlembagaan.

Sementara itu, Dr Nasir berkata ramai mangsa penahanan tanpa bicara mengalami trauma yang sangat dasyat termasuk dirinya.

"Ramai mangsa ISA menghadapi trauma, terlalu berjaga-jaga dan waspada hingga membatalkan kemampuan mereka melibatkan diri dalam masyarakat. Ramai pula mangsa ISA mudah lupa, sanggup memuji dan menyokong kembali Mahathir demi tagihkan kedudukan politik.

“Saya menghadapi batuk teruk semasa di kurung 60 hari tanpa mengetahui bila siang atau malam sebelum dihantar ke Kemunting. Batuk tidak reda maka X-Ray di hospital menunjukkan luka di paru-paru kanan.

"Masalah batuk tidak reda selama dua tahun selepas saya dibebaskan," katanya menjelaskan dia kemudian terpaksa melalui pembedahan akibat penyakit tibi di paru-paru kanannya.

Pada 1987, Mahathir dan Razaleigh berseteru dalam pemilihan presiden Umno.

Di bawah pentadbiran perdana menteri Dr Mahathir Mohamad seramai 106 aktivis, wartawan dan ahli politik pembangkang ditahan tanpa bicara pada November 1987.

Operasi Lalang berlangsung ketika Umno berpecah menjadi dua kem, apabila Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan presiden Umno pada pemilihan tahun 1987.

Untuk rekod, pada malam 15 Sept 2011 menjelang sambutan Hari Malaysia, perdana menteri ketika itu Najib Razak mengumumkan pemansuhan ISA.

Sejak penggubalannya pada 1960, dilaporkan lebih 10,000 orang telah ditangkap dan ditahan bawah ISA.

Sebelum dihapuskan, ISA dikritik atas dakwaan salah guna kuasa, penyiksaan, penafian hak tahanan termasuk akses kepada peguam serta keluarga.

Bagaimanapun, kerajaan menggantikan undang-undang pencegahan ISA dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Sejarah hitam

Sementara itu, aktivis Women's Aid Organisation, Irene Xavier (gambar bawah) yang juga bekas tahanan Operasi Lalang berkata adalah baik untuk kerajaan memohon maaf kerana peristiwa penangkapan beramai-ramai tanpa bicara itu merupakan sejarah hitam Malaysia.

"Jadi jika kerajaan memohon maaf kepada kita secara rasmi (apa yang berlaku sebelum ini) ditutup dengan cara yang baik.

"Itu sahaja kerana saya rasa banyak masalah yang terpaksa dihadapi oleh mangsa tahanan ini, ada dikalangan kita sukar mendapatkan pekerjaan mereka kembali dan saya fikir adalah baik kepada kerajaan untuk meminta maaf kepada kami,” katanya.

“Saya terbuka hati menerima maaf tetapi harap ia tak berulang lagi,” tegasnya.

Dalam pada itu, ahli akademik dan bekas profesor kejuruteraan kimia Dr Tan Ka Kheng berkata kerajaan perlu memberikan pampasan terhadap bekas tahanan Operasi Lalang sebagaimana nilai pampasan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes lima aktivis reformasi.

"Kerajaan harus memohon maaf kepada mangsa Operasi Lalang dan negara kerana ia membawa kepada pemerintahan ala 'diktator' dan kemusnahan institusi awam utama dan tadbir urus negeri, dan serangan serius terhadap masyarakat intelektual.

"Operasi Lalang membolehkan 'diktator' mengamalkan politik wang dan dasar perkauman yang memecahbelahkan rakyat yang menjadi budaya yang melanda ahli politik dan politik di Malaysia sehingga ke hari ini," katanya melalui pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Ketika ditahan pada Operasi Lalang, Tan (gambar atas) berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan terlibat dalam jawatankuasa membantah perlombongan nadir bumi di Bukit Merah, Perak yang didakwa menyebabkan keracunan radioaktif kepad apenduduk setempat.

Tan merujuk kes Mahkamah Persekutuan pada 29 Jun 2016 menolak rayuan oleh polis dan kerajaan terhadap kuantum ganti rugi am diarahkan supaya dibayarkan kepada lima bekas tahanan ISA semasa era Reformasi pada tahun 2001.

Mahkamah paling atas negara itu juga mengekalkan pampasan RM10,000 sehari yang diberikan kepada lima bekas tahanan ISA ini sepanjang tempoh penahanan mereka yang menyalahi undang-undang.

Setiap mereka dikurung dari 41 hingga 53 hari, iaitu ketika dalam jagaan polis sebelum dipindahkan ke pusat tahanan Kamunting.

Mereka adalah bekas ahli parlimen Batu Chua Tian Chang atau Tian Chua, bekas Adun Hulu Klang Saari Sungib, aktivis Hishamuddin Rais, bekas ahli majlis tertinggi PKR Badrul Amin Baharom dan Badaruddin Ismail, yang lebih dikenali sebagai Pak Din.

Pampasan itu tidak meliputi tempoh dua tahun ketika mereka ditahan di kem Kamunting untuk tahanan ISA, selepas dilabel sebagai pengganas pada masa itu oleh ketua polis negara Norian Mai.

Dua kali ditahan, masih sokong ISA

Bagaimanapun, bekas presiden Perkasa Ibrahim Ali yang pernah dua kali ditahan ISA ketika terlibat dalam gerakan pelajar 1974 dan politik Umno pada 1987 mempunyai pendapat berbeza.

Ibrahim (gambar bawah) memberitahu Malaysiakini gesaan yang diutarakan Hishamudin itu hanyalah sekadar pandangan peribadinya sahaja.

“Itu pandangan dia seorang saja, saya punya pandangan kita kena tengok Operasi Lalang dalam perspektif keselamatan negara. Hakim Mahkamah Rayuan tersebut tengok dari segi point of law.

“Point of law dengan keselamatan negara ada masanya tidak boleh disamakan,” katanya yang ketika itu memegang jawatan exco Pemuda Umno.

Kata Ibrahim, walaupun menjadi mangsa Operasi Lalang namun dia masih percaya penangkapan tahanan ISA dibuat bagi mengelak keadaan menjadi huru-hara.

“Dia belum terlibat tapi berpotensi, maknanya habis semua pihak diambil tindakan ditahan bagi menentukan tidak ada mana-mana individu yang boleh terus menyemarakkan api perkauman ini," katanya menjelaskan undang-undang pencegahan mengenai potensi jenayah yang belum dibuat.

Dalam perkembangan berkaitan, tokoh akademik dan politik Dr Syed Husin Ali (gambar bawah) menyoal mengapa kerajaan hanya perlu membuat permohonan maaf terhadap bekas tahanan ISA Operasi Lalang sahaja.

“Saya tidak faham mengapa perlu memohon maaf atas penahanan ISA yang terlibat dalam Operasi Lalang sahaja?

"Mengapa tidak dimasukkan juga pelajar, pensyarah dan anak kecil yang ditahan di bawah ISA sewaktu insiden di Baling?

"Malah kenapa tidak meminta maaf kepada semua tahanan ISA? Lagipun ISA telah dimansuhkan,” katanya yang ditahan dibawah ISA dari 1974 hingga 1980 kerana memperjuangkan kemiskinan petani di Baling, Kedah.

Penerbit buku Chong Ton Sin pula berkata permintaan maaf daripada kerajaan akan menunjukkan penyesalan terhadap kesilapan pada masa lalu.

“Bagi saya minta maaf atau tidak ia sudah berlalu, tapi kalau nak minta maaf pun bagus jugalah kerana sekurang-kurangnya mereka sedar mereka salah.

“Minta maaf juga membuktikan mereka bersalah kerana kalau tak salah buat apa nak minta maaf, tak semudahnya tangkap orang tak bersalah," katanya.

Chong ditangkap pada 1968 ketika remaja dan menghabiskan lapan tahun dalam tahanan tanpa bicara.

"Tapi apa yang ditanggung oleh mangsa tak akan mungkin dapat dilupakan dan ada yang dah meninggal dunia, sakit dan ketakutan yang ditanggung keluarga mereka selama ini mana mungkin dikembalikan," katanya lagi.

Pada 2017, Mahathir mengaku bertanggungjawab atas peristiwa itu tetapi tidak meminta maaf, menegaskan ia bukan keputusannya.

Mahathir juga berulangkali mengatakan Operasi Lalang dikendalikan pihak polis dan dia tidak ada kuasa untuk membantah perintah penahanan.

Berhubung permohonan maaf oleh kerajaan atas kesilapan masa lalunya, menteri undang-undang Mohd Nazri Aziz pada 2008 mengumumkan kerajaan telah membayar sagu hati sejumlah RM10.5 juta kepada enam orang bekas hakim, termasuk bekas Ketua Hakim Tun Salleh Abbas yang dipecat ketika berlaku krisis kehakiman pada 1988.

Lihat Komen
ADS