Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M rela dipersalahkan atas Ops Lalang
Diterbitkan:  Nov 1, 2017 6:34 PM
Dikemaskini: 12:42 PM

Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil tanggungjawab atas penahanan serta seksaan dialami tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa Operasi Lalang walaupun keputusan untuk menangkap seseorang bukan terletak di tangannya.

Kata pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu beliau sendiri pernah bertanya kepada polis sama ada ISA wajar dihapuskan atau tempoh penahanan dipendekkan menjadi setahun.

"Mereka (polis) tidak setuju," katanya dalam catatan terbaru di blog beliau hari ini.

Perdana menteri keempat Malaysia itu juga diberitahu bahawa tahanan ISA turut diseksa.

"Saya kesal tahanan Ops Lalang diseksa. Ini melanggar undang-undang," katanya.

Beliau juga menyatakan perkara pertama dilakukannya selepas menjadi perdana menteri ialah mengarahkan semua 21 tahanan politik yang dipenjara mengikut ISA dibebaskan.

"Saya melakukannya kerana saya tak suka penahanan tanpa bicara sejak Aziz Ishak ditangkap," katanya merujuk kepada tokoh pejuang kemerdekaan, penulis dan wartawan yang pernah bergiat dalam pertubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM).

ISA digantikan

Adik kepada presiden pertama Singapura itu dilantik menjadi menteri dalam kabinet Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj bagi tempoh 1955 hingga 1963.

Beliau dituduh menjadi pengkhianat dan bersekongkol dengan ejen Indonesia semasa Malaysia berkonfrontasi dengan negara terbabit. Aziz menafikan tuduhan berkenaan namun beliau ditahan antara 1965 hingga.

Kata Dr Mahathir beliau berharap sepanjang tempoh menjadi perdana menteri tiada sesiapa yang perlu ditahan mengikut ISA.

Walaupun begitu ramai orang ditahan mengikut akta berkenaan sepanjang tempoh 22 tahun Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Satu daripada penahanan yang dikenang ramai ialah Ops Lalang yang berlaku 30 tahun lalu.

Namun beliau mengingatkan penahanan mengikut ISA juga berlaku di bawah tiga perdana menteri sebelumnya.

"Mereka tidak pernah dibebaskan atas arahan perdana menteri terbabit," katanya.

ISA digubal pada 1960 untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman dalam negara.

Ia memberi kuasa kepada polis menahan seseorang sehingga 60 hari tanpa perlu dibawa ke mahkamah untuk dituduh.

Walaupun ia bertujuan untuk menghadapi anasir berbahaya pengkritik mengecam akta berkenaan kerana dilihat menjadi alat kepada kerajaan mendiamkan pembangkang.

ISA kini sudah dimansuhkan dan diganti dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai Sosma.

Lihat Komen
ADS