Polis akan merakam keterangan tiga wartawan Malaysiakini berhubung laporan pertukaran kepimpinan tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, esok.
Bernama memetik Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebagai rakaman keterangan daripada tiga wartawan terbabit akan diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 2.30 petang.
“Setakat ini polis mengambil keterangan daripada pengadu dan siasatan lanjut akan dilakukan,” katanya.
Selasa lalu, Malaysiakini menerbitkan laporan bertajuk “Bukit Aman rancang pindahkan pegawai kanan polis?”.
Ia menyebut pasukan keselamatan itu merancang pertukaran melibatkan kepimpinan tertingginya. Antara yang dikatakan terlibat adalah Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Mereka dikatakan antara bakal ditukarkan ke agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri.
PDRM bagaimanapun menafikan spekulasi rombakan besar-besaran melibatkan kepimpinan tertinggi Bukit Aman itu sebagai "tidak benar" kerana tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihaknya.
Mengulas lanjut, Razarudin turut mengingatkan pengamal media supaya tidak membuat laporan atau berita spekulasi sehingga boleh menimbulkan fitnah dan khianat kepada pihak lain.
“Kita memahami tanggungjawab pengamal media sebagai perantara dalam menyampaikan berita kepada masyarakat namun perlu dilakukan dengan beretika,” katanya.
Dia berkata sekiranya berita dilaporkan menimbulkan khianat atau fitnah, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas yang boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM), Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan peruntukan sedia ada.
Menurut beliau, di bawah Seksyen 233 AKM, mereka yang berkenaan boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah.
