RUU Perbekalan 2025 lulus peringkat dasar melalui undian suara
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) selepas selesai dibahaskan di peringkat dasar.
RUU Perbekalan 2025 itu diluluskan menerusi undian suara sejurus selepas Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan selesai penggulungan bagi Kementerian Kewangan.
Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor itu ditangguhkan sekitar jam 7.40 malam sebaik undian selesai.
Sesi terakhir penggulungan peringkat dasar RUU Perbekalan 2025 hari ini membabitkan enam kementerian iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Digital, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.
RUU Perbekalan 2025 dibahas di peringkat dasar sejak 21 Oktober lalu selepas pembentangan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 18 Oktober lalu.
Berdasarkan takwim Parlimen, perbahasan RUU itu bagi peringkat jawatankuasa dijadual bermula esok hingga 3 Disember.
Sejumlah RM421 bilion atau 20.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diperuntukkan dalam Belanjawan 2025.
Ia sekali gus menjadi belanjawan paling tinggi dalam sejarah negara.
/file/1294/422fba7062b43eca73f50d920bd0aa13.jpeg)
