Jangan tuduh saya, kata Wan Farid
Setiausaha Politik kepada Menteri Keselamatan dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh menafikan dakwaan PAS bahawa beliau mempengaruhi pihak polis supaya tidak mengeluarkan permit ceramah kepada Bersih di Kuala Terengganu, 8 September lalu.
Setiausaha Politik kepada Menteri Keselamatan dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh menafikan dakwaan PAS bahawa beliau mempengaruhi pihak polis supaya tidak mengeluarkan permit ceramah kepada Bersih di Kuala Terengganu, 8 September lalu.
Katanya, walaupun bertugas di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, adalah satu kesalahan baginya untuk mencampuri urusan polis dalam perkara tersebut.
"Saya tiada kuasa boleh buat begitu (arah polis supaya tidak keluar permit kepada Bersih)," kata ketua Umno bahagian Kuala Terengganu itu dalam temubual dengan
malaysiakini
di Putrajaya hari ini.
"Boleh semak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sama ada saya membuat panggilan untuk meminta polis menerima atau menolak permohonan permit ceramah.
"Itu hal dia...kuasa penuh polis dan saya sendiri tidak tahu kriteria yang digunapakai dalam meluluskan permit ceramah," katanya.
Oleh itu, Wan Ahmad Farid, 45, mengingatkan PAS supaya jangan lagi membuat tuduhan kononnya beliau yang mengarahkan polis jangan mengeluarkan permit untuk ceramah tersebut.
Dakwaan PAS
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali dalam sidang media di ibu negara selepas insiden tersebut mendakwa Wan Ahmad Farid bertanggungjawab mengarahkan polis supaya tidak mengeluarkan permit kepada program anjuran Bersih itu.
Mustafa berkata, PAS mempunyai bukti mengenai pembabitan Wan Ahmad Farid dalam insiden tersebut.
Bagaimanupun, tokoh muda Umno Terengganu itu berkata, Mustafa membuat dakwaan itu dengan menjangkakan beliau akan memberi respons terhadap perkara itu.
"Saya tidak ambil dakwaan Mustafa itu sebagai serius kerana beliau sendiri berkata beliau tiada di tempat kejadian," katanya.
Wan Ahmad Farid berkata, PAS telah memasang pemidang dan membina pentas ceramah sedangkan permit polis belum dipohon.
Katanya, beliau tidak pernah campurtangan dan tidak tahu menahu mengenai kejadian tersebut sehingga selepas ia berlaku.
Tidak tahu menahu
Menurutnya, ketika kejadian berlaku beliau sedang mempengerusikan mesyuarat Umno Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam di bangunan Umno Gong Kapas, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.
Selepas mesyuara tersebut, katanyabeliau bersama rakan-rakannya minum di sebuah warung berhampiran bangunan Umno tetapi mendakwa tidak tahu menahu mengenai kejadian rusuhan tersebut.
"Ketika kejadian secara kebetulan saya berjumpa seorang bekas wakil rakyat PAS tetapi beliau tidak memberitahu mengenai perkara tersebut," katanya.
Malah kata Wan Ahmad Farid, semasa PAS memohon permit dari polis, beliau tiada di Terengganu sebaliknya berada di Sarawak.
Semalam, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharom berkata, kejadian rusuhan di Batu Buruk pada 8 September lalu adalah berpunca daripada kesilapan parti PAS kerana ingkar dengan arahan pihak berkuasa.
Katanya, kejadian itu tidak mungkin terjadi sekiranya PAS mematuhi arahan pihak berkuasa untuk tidak mengadakan ceramah tanpa permit polis.
Dalam kejadian tersebut, tujuh orang cedera termasuk empat anggota polis. Manakala dua ahli PAS cedera terkena tembakan seorang anggota polis.

