Timbalan Ketua Pemuda PKR Muhammad Kamil Abdul Munim perlu diberi laluan dipilih sebagai ketua pemuda yang baru dalam pemilihan parti pada Mei ini, kata timbalan setiausaha agung parti itu Muhammad Zakwan Mustafa Kamal.
Menurutnya, Kamil yang juga setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menerima sokongan daripada kesemua 14 Pemuda PKR (AMK) negeri untuk menggantikan penyandang jawatan itu, Adam Adli Abdul Halim.
"Sebagai ahli PKR, saya menghormati hak bertanding semua ahli dalam parti. Tapi, pada masa yang sama, saya nampak saudara Kamil menerima sokongan yang tidak terbelah daripada semua AMK daripada seluruh negara.
"Maka, saya mencadangkan anggota sayap pemuda parti supaya memberi laluan kepadanya," katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, hampir semua AMK negeri telah menyatakan sokongan kepada Kamil untuk menjadi ketua Pemuda parti itu.
Terbaru, dalam satu kenyataan bersama Pemuda PKR Wilayah Persekutuan menzahirkan sokongan penuh kepada Kamil.
"Sokongan bersama kepimpinan pemuda PKR Wilayah Persekutuan terhadap Kamil Munim bersandarkan rekod kepimpinan yang cemerlang, jaringan dan hubungan yang mantap mempunyai hubungan dan jaringan yang baik antara rakan parti dalam Angkatan Muda Harapan (AMH), komponen Kerajaan Perpaduan serta badan-badan NGO, profesional dan badan-badan belia seluruh negara.
"Selain itu, pengalaman dalam pentadbiran pengalaman dia selaku setiausaha politik kepada Menteri Kewangan dalam pentadbiran yang boleh menjadi jambatan antara organisasi parti khususnya AMK dan juga pentadbiran kerajaan," kata mereka.
Tambah mereka, Kamil juga merupakan pemimpin muda PKR yang diterima oleh semua lapisan anggota parti dari seluruh negara yang sering menyantuni akar umbi anggota parti tidak mengira masa.
Secara amnya, negeri-negeri yang menyokong Kamil berkata bahawa dia selaku penyandang timbalan ketua Pemuda PKR berperanan penting mengukuhkan organisasi dan menggerakkan jentera.
Sebelum ini, Kamil dilaporkan berkata dia sedang mempertimbangkan permintaan akar umbi agar dia menerajui Pemuda PKR pada pemilihan Mei depan.
Ini selepas, Ketua Pemuda PKR Adam Adli yang juga timbalan menteri belia dan sukan pada 11 Feb menyuarakan hasrat untuk bertanding dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Sebelum ini, Malaysiakini difahamkan seorang ahli parti yang ingin bertanding bagi jawatan ketua pemuda perlu mendapatkan 20 pencalonan daripada cabang.
Pencalonan perlu dibuat di peringkat cabang. Namun, cadangan itu masih belum dimuktamadkan dan keputusan akan dibuat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang dijadualkan pada 23 Feb ini.
Pemilihan PKR bagi jawatan pusat dijadualkan pada 24 Mei ini.
