Tiada ahli parlimen pembangkang selain Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan perjumpaan berhubung peruntukan kewangan untuk ahli parlimen pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri II Fadillah Yusof.
Bagaimanapun, Fadilah yang juga pengerusi Jawatakuasa Majlis Perundingan Kerajaan yang menguruskan perbincangan peruntukan kewangan kepada pembangkang berkata cadangan Syed Saddiq tidak mewakili pembangkang secara keseluruhan.
"Kalau dari segi peruntukan, dulu juga pembangkang yang mengatakan dia orang tak nak berunding, dia orang tak setuju dengan memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan bagi ahli parlimen pembangkang.

"Jadi, sebab itu saya kata tak ada perundingan. Yang ada Syed Saddiq. Memang saya menerima cadangan daripada dia yang lain tak ada," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, dia minta mengulas status terkini isu peruntukan untuk pembangkang.
Pada sesi parlimen November lalu, Fadillah berkata dia terbuka untuk berbincang dengan ahli parlimen pembangkang mengenai peruntukan kawasan.
Menurutnya, Syed Saddiq satu-satunya wakil rakyat yang telah memberikan maklum balas terhadap memorandum persefahaman (MOU) dan memberi jaminan dia akan memberikan respons dalam masa terdekat.
Pada September lalu, pimpinan PN menolak draf perjanjian Putrajaya mengenai peruntukan kawasan kepada ahli parlimen pembangkang.
Namun, pada Selasa lalu, Syed Saddiq mengadu walaupun sudah menjalani lima rundingan dengan Fadillah namun masih tiada kemajuan dalam isu itu.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata cadangan Syed Saddiq sedang dimuktamadkan.
"Sebab kerajaan ini kita terpaksa ada konsensus yang mana kita perlu mendapatkan persetujuan semua pihak. Saya perlu halusi segala cadangan sebab walaupun cadangan dikemukakan oleh Syed Saddiq sebab dia kemukakan banyak cadangan.

"Dia nak mewakili pembangkang. Tapi, dia hanya mewakili diri sendiri sebab pembangkang sudah ada ketua pembangkang. Jadi, kita kena lihat keseluruhan," katanya.
Katanya, dia sedia menerima cadangan daripada semua ahli parlimen pembangkang.
"Kalau ada apa-apa kita kena bincang secara keseluruhan. Kalau ada cadangan bagi kepada saya.
"Kita akan tubuh jawatankuasa duduk bersama berbincang. Sesiapa sahaja boleh buat cadangan," katanya lagi.
