Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kini melakar sejarah baru apabila berjaya mewujudkan pusat khidmat masyarakat pertama mereka dalam usaha mengembangkan pengaruh dan kepercayaan rakyat kepada parti berkenaan.
Lebih menarik, DHPP memilih Melaka sebagai lokasi pusat khidmat pertama tersebut dan langkah berkenaan disifatkan bakal mengganggu keselesaan kedudukan DAP di situ.
Ketua DHPP Melaka, Shawn Loh Sheng Nian, berkata pihaknya yakin usaha itu akan mampu melemahkan pengaruh DAP di Melaka pada masa akan datang.
"Kehadiran kami pasti akan mengganggu gugat keselesaan kedudukan DAP. Kami percaya DHPP akan berjaya melemahkan pengaruh DAP di Melaka pada masa akan datang.
"Mereka tidak lagi akan berada dalam zon selesa," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu Pusat Khidmat Masyarakat DHPP Melaka yang terletak di Taman Peringgit Jaya, dilancarkan dalam satu majlis yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Ia dirasmikan Pesuruhjaya PAS Melaka, Zulkifli Ismail. Turut hadir, Ketua DHPP, N Balasubramaniam, dan ketua penerangan sayap PAS itu, G Balachandran.
Sementara itu ditanya mengenai sasaran kerusi yang mungkin ditandingi sayap PAS itu, Loh bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan parti.
"Kami percaya kehadiran DHPP di persada politik Melaka akan membawa perubahan.
"Kami akan terus berkhidmat dari sekarang untuk memenangkan PN dalam pilihan raya akan datang," katanya.
