Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua tahanan Sosma dakwa jadi mangsa keganasan pegawai penjara

Dua lelaki yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) mendakwa pegawai Penjara Sungai Buloh membelasah mereka berikutan mogok lapar kedua-dua mereka bulan lalu.

Mereka yang berusia 26 tahun itu memfailkan saman pemula untuk memaksa Ketua Pengarah Penjara dan Menteri Dalam Negeri mendedahkan nama-nama yang didakwa terlibat dalam serangan terhadap mereka yang dikatakan berlaku pada 11 dan 13 Feb.

Rajesh Nagarajan

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam kedua-dua lelaki itu, Rajesh Nagarajan mengesahkan permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tiga hari lalu, sambil menambah bahawa tindakan itu adalah saman pemula kepada tuntutan mahkamah utama berhubung serangan fizikal itu.

Kedua-dua mereka adalah antara 32 tahanan Sosma yang ahli keluarganya mengadakan mogok lapar di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh pada 8 Feb lepas.

Mengikut afidavit oleh plaintif kedua yang merupakan seorang daripada dua lelaki itu, dia mendakwa dirinya dan plaintif pertama adalah antara beberapa tahanan Sosma yang menjadi mangsa serangan pada malam Thaipusam, 11 Feb lalu.

Dakwanya, dia dan tahanan lain dipukul, dihentak dan dipijak dengan kasar oleh pegawai penjara, sehingga beberapa tahanan tidak sedarkan diri akibat kesakitan, pendarahan dan kecederaan yang parah.

“Serangan itu berpunca daripada tindakan saya, plaintif pertama, serta beberapa tahanan lain yang memulakan mogok lapar sebagai protes atas layanan buruk, keadaan penjara yang tidak berperikemanusiaan, serta pencabulan hak asasi kami.

“Pada atau sekitar 8 hingga 9 Feb 2025, ahli keluarga saya bersama beberapa banduan lain yang ditahann bwah Sosma telah melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh sebagai tanda protes terhadap penahanan tanpa bicara dan layanan tidak adil.

“Sebagai sokongan kepada protes tersebut, saya bersama beberapa banduan lain termasuk plaintif pertama turut melancarkan mogok lapar pada masa yang sama untuk menuntut hak kami.

“Sebagai tindak balas kepada mogok lapar yang dilakukan oleh kami dan ahli keluarga di luar penjara, pegawai penjara bertindak ganas dengan menyerang kami (tahanan) pada malam 11 Feb, menggunakan kekerasan yang tidak wajar untuk menindas protes kami.

“Plaintif dan keluarga banduan lain telah membuat aduan berhubung kejadian itu," kata lelaki itu dalam afidavitnya yang dilihat oleh Malaysiakini.

Hujahnya, bahawa identiti pegawai-pegawai yang terlibat berada dalam pengetahuan dan kawalan Ketua Pengarah Penjara dan Menteri Dalam Negeri.

Plaintif kedua berkata dokumen mengenai identiti penceroboh yang didakwa adalah perlu untuk penyediaan saman sivil utama untuk mendapatkan ganti rugi atas dakwaan serangan dan keganasan.

"Sekiranya, permohonan ini ditolak, maka hak saya dan juga plaintif pertama akan terjejas untuk mendapatkan remedi dan/atau pampasan yang setimpal tehadap pegawai penjara yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Peguam Negara (yang lazimnya mewakili Jabatan Penjara dan Menteri Dalam Negeri dalam kes sivil yang sama) untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu.

Bulan lalu, kumpulan hak asasi manusia Suaram telah mewakili ahli keluarga untuk membuat aduan kepada Suhakam berhubung nasib 32 tahanan itersebut.

Menurut surat aduan Suaram, tahanan telah ditangkap oleh polis antara Mei dan September tahun lalu kerana disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang bernama Geng TR.

Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(I) Kanun Keseksaan. Mereka tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana Seksyen 13 Sosma menyatakan bahawa jaminan tidak akan ditawarkan kepada mereka yang didakwa mengikut undang-undang tersebut.

Seksyen 130V memperkatakan tentang kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS