Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Sarifuddin Hata mendakwa seorang Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seolah-olah mengakui wujudnya skandal rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya amat terkejut,” katanya pada satu kenyataan, merujuk jawapan Ketua Pemuda GRS, Jonnybone Kurum terhadap soalannya semasa sidang Dewan Undangan Negeri Sabah semalam.
“Kenyataan Jonnybone seolah-olah mengakui beliau telah percaya bahawa kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengamalkan rasuah.
"Bermakna beliau dari awal telah menerima amalan rasuah yang wujud di dalam pentadbiran kerajaan semasa,” tambahnya.

Sarifuddin, yang juga Adun Merotai berkata jawapan Jonnybone menggambarkan wakil rakyat itu menganggap tiada yang luar biasa atau salah apabila beberapa Adun terpalit dalam skandal pemberian lesen penerokaan mineral.
“Saya amat kecewa dengan pendiriannya, namun biarlah rakyat Sabah sendiri yang menilaikan kenyataan menghina daripadanya,” katanya lagi.
Soalan integriti, perpaduan
Jonnybone sebelum itu memberikan jawapan kepada soalan Sarifuddin, yang bertanya sama ada perpaduan harus seiring dengan integriti dalam usaha membangunkan Sabah.
Dalam jawapannya, Adun Telupid itu berkata semua pihak perlu sedar bahawa perjuangan melawan rasuah perlu bermula dengan pertanggungjawaban diri, bukan hanya menyalahkan pihak lain.
“Mengenai rasuah, saya tidak mahu sentuh kerana ini dalam skop yang besar kerana ia boleh dianggap sebagai persepsi,” kata Jonnybone.
Katanya sesuatu tuduhan rasuah hanya boleh dianggap sah apabila kes dibawa ke mahkamah dan diputuskan dengan penghakiman.
"Rasuah berlaku sekiranya sudah dibawa ke mahkamah dan diputuskan, kalau tidak ia sebagai persepsi dan sebagai suatu perbualan di luar
“Kalau anda mengatakan bahawa anda bebas rasuah, saya rasa kena tanya diri sendiri. Kalau anda mengatakan kerajaan semasa atau yang dahulu tidak pernah mengamalkan rasuah, itupun saya tidak percaya juga,",” katanya.
Rentetan video dakwaan rasuah
Sejak November lalu, seorang ahli perniagaan mendedahkan beberapa siri video dan mesej Whatsapp yang mengaitkan lapan Adun Sabah, yang didakwanya menerima rasuah sebagai balasan untuk lesen penerokaan mineral.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji, sebelum ini mendakwa video-video itu cubaan untuk menjatuhkan pentadbirannya menjelang pilihan raya negeri.
Ahli perniagaan berkenaan juga dituduh menjadi anggota kartel yang berusaha memonopoli industri perlombongan di Sabah.