Dr Akmal Saleh, yang kini dalam lawatan kerja rasmi ke Shanghai, membayangkan satu perkembangan yang memberangsangkan akan dibawa pulang ke negeri Melaka.
Dalam catatan ringkas di Facebook, ketua Pemuda Umno itu berkongsi hantaran Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh dengan keterangan: "InsyAllah, something good is coming to Melaka. Doakan perbincangan dan perancangan kami disini dipermudahkan."
Adun Merlimau, yang juga berkhidmat sebagai exco kerajaan negeri untuk pembangunan luar bandar, pertanian, dan keselamatan makanan - dan sering menjadi tumpuan atas kenyataan provokatifnya mengenai kaum dan agama - berkongsi gambarnya menyertai mesyuarat dengan pegawai China.
Dalam hantaran itu, Ab Rauf Yusoh mendedahkan bahawa dia mengetuai delegasi negeri di Shanghai untuk perjumpaan dan perbincangan dengan beberapa konglomerat dari China dalam bidang teknologi tinggi, petrokimia, penstoran bateri, penebat kaca dan tenaga boleh diperbaharui.

“Menerusi lawatan kerja rasmi ini, saya turut membantu mempromosikan potensi projek berimpak tinggi Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SMWEZ) yang menjadi katalis pembangunan koridor ekonomi baharu negeri Melaka,” katanya.
"Kerajaan negeri optimis lawatan ini dapat memberi impak besar bagi menarik lebih ramai pelabur berpotensi khususnya dari China untuk melabur ke negeri Melaka.
"Ini termasuk berkongsi beberapa inisiatif khususnya dasar 'mesra pelabur' yang pentadbiran saya perkenalkan bagi memastikan Melaka terus kekal menjadi destinasi pilihan pelabur,” tambahnya.
Selain Akmal, Ab Rauf turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Yusof Abu Bakar dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) negeri Jaibalan Harirajan.
Lawatan itu susulan lawatan Presiden China Xi JinPing ke Malaysia dari 15 hingga 17 April.
