Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
13 Mei: Manipulasi politik kaum ancam perpaduan negara - pakar

Politik kaum memang lumrah politik negara namun boleh membawa mudarat apabila golongan pentaksub menggunakan isu berkenaan untuk mendesak pemerintaan dikuasai kaum majoriti Melayu sahaja, menurut ahli akademik Dr Sharifah Munirah Alatas.

Katanya, kebangkitan etno-populisme di Malaysia boleh dijejak kembali sejak era perjuangan kemerdekaan daripada penjajahan, yang mendahului peristiwa rusuhan 13 Mei 1969 — satu insiden yang sering dianggap mempercepat dan mengukuhkan ideologi ‘Ketuanan Melayu’ dalam wacana nasional.

“Jika dilihat secara sejarah, gerakan etno-populis yang disebut sebagai ‘Ketuananisme’ bermula lebih awal (dari insiden 13 Mei) kerana ia merupakan sebahagian daripada keseluruhan gerakan nasionalis Melayu antipenjajahan menuju kemerdekaan.

“Selepas kita mencapai kemerdekaan, ia berterusan. Sistem politik yang berasaskan etnik di Malaysia sememangnya wujud kerana kita negara berbilang kaum.

ahli akademik Dr Sharifah Munirah Alatas.

“Masalahnya timbul apabila wujud golongan supremasi dan etno-nasionalis yang berkeras mahu negara ini ditadbir oleh kaum majoriti,” katanya pada podcast Straight Talk terbitan Malaysiakini yang dihoskan bekas diplomat Dennis Ignatius.

Episod itu turut menampilkan bekas ahli parlimen DAP dan aktivis hak asasi manusia, Kua Kia Soong serta blogger Syed Akbar Ali.

Munirah, bekas profesor madya kajian strategik dan hubungan antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), turut tidak bersetuju dengan pandangan bahawa mana-mana masyarakat berbilang kaum pasti gagal.

Sebaliknya dia menegaskan ‘perkahwinan politik’ semua etnik boleh dilaksanakan jika wujud gagasan daripada kepimpinan yang mencukupi.

Pada Julai 2023, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perlembagaan Persekutuan menegaskan “kemelayuan” Malaysia dan negara ini sebuah negara Melayu, sambil mendakwa mempromosikan Malaysia berbilang kaum bertentangan dengan perlembagaan.

Tokoh veteran itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap gesaan agar dia berhenti memainkan sentimen perkauman.

Sementara itu, ketika ditanya oleh Dennis sama ada dia bersetuju bahawa peristiwa 13 Mei telah meretakkan kepercayaan antara komuniti etnik, Munirah tidak bersetuju.

Jelasnya majoriti rakyat Malaysia sebenarnya tidak mempercayai politik dan ahli politik.

“Ya, (di peringkat rakyat biasa hubungan mereka baik), tetapi tidak kira parti politik mana yang berkuasa, kita masih ada rasa tidak percaya (terhadap ahli politik),” katanya.

Bagaimanapun, dia berkata pengukuhan berulang tafsiran agama tertentu dalam kalangan umat Islam Malaysia turut menjadi faktor yang menjarakkan hubungan antara rakyat.

“Isu kepercayaan ini, saya katakan, (berkait dengan bagaimana) kita tidak lagi saling mengunjungi rumah masing-masing (atau) berkongsi hidangan perayaan kerana pengaruh berterusan di internet.

“Mereka sentiasa mengingatkan kita untuk semak sama ada gelas itu halal atau haram, bolehkah makan dengan sudu itu. Ini perkara-perkara mengarut yang sentiasa ditanam dalam fikiran umat Islam,” tambahnya.

Munirah (gambar atas) menegaskan isu itu berpunca daripada cara pendidikan agama Islam disampaikan di sekolah dan menyatakan sebab mengapa topik itu dianggap sensitif itu kerana pemimpin kerajaan menggunakan isu tersebut sebagai alat untuk mengawal rakyat.

“Siapa pun kerajaan yang memerintah, mereka perlu mengawal naratif (pendidikan agama) ini untuk terus berkuasa. Saya katakan bahawa isu kepercayaan ini sangat rumit,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS