Pembantu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Kamil Abdul Munim menggesa agar penemuan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bahawa Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014 tidak dipolitikkan.
Kamil berkata kenyataan oleh kerajaan Belanda dan Australia malam tadi mengenai perkara tersebut dikeluarkan sebaik sebelum lawatan rasmi Anwar ke Rusia bermula hari ini, yang telah dirancang sejak beberapa bulan lalu.
“Justeru, apa yang penting adalah laporan tersebut tidak seharusnya dieksploitasi dan ditunggang oleh pihak-pihak yang picisan dan dangkal isu.
“Jangan kita mudah terheret dengan permainan kuasa-kuasa besar dengan membantu menghalakan peluru musuh ke arah kita. Mempolitikkan tragedi MH17 adalah tingkat paling bawah untuk membenih dan mengaut laba politik murahan,” kata Kamil dalam kenyataan di X hari ini.

Kamil yang merupakan setiausaha politik Anwar di Kementerian Kewangan berkata Malaysia akan terus mendukung segala usaha bagi menegakkan keadilan untuk mangsa tragedi MH17.
“Malah, rekod Malaysia di pentas dan arena diplomasi kekal cemerlang, bijaksana dan tegas seperti yang ditonjolkan dalam pelbagai siri lawatan dan kunjungan rasmi perdana menteri. Malaysia tidak berhasrat untuk berganjak dari posisi ini.
“Dan Insya-Allah, kunjungan rasmi ke Rusia ini tentunya akan membuahkan hasil, meneruskan momentum serta memberi laba kepada negara dan rakyat lantas meletakkan Malaysia sebagai negara yang tegas, bermaruah dan berwibawa,” katanya lagi.
Kamil mengulas gesaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang menggesa Anwar agar tidak berdiam diri berhubung tragedi itu dalam lawatan rasminya ke Rusia.
Anwar kini dalam lawatan rasmi ke negara itu bermula hari ini hingga 16 Mei. Dia antara lain dijadualkan bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin di Moscow dan menghadiri forum Russia-Islamic World: KazanForum di Kazan.
Ditembak jatuh di timur Ukraine
Hari ini, Reuters melaporkan yang kerajaan Australia dan Belanda masing-masing mengeluarkan kenyataan bahawa ICAO telah memutuskan Rusia bertanggungjawab menembak jatuh MH17 dan akan mempertimbangkan pampasan yang sewajarnya dalam beberapa minggu akan datang.
Pesawat tersebut ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 semasa melalui wilayah timur Ukraine, di mana tentera Ukraine sedang bertempur dengan puak pemisah yang disokong Rusia.
Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal terkorban dalam tragedi itu.
Penemuan ICAO itu dibuat susulan sabitan pada November 2022 terhadap dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine (secara in absentia) atas kesalahan membunuh atas peranan mereka dalam tragedi itu.
Rusia yang konsisten menafikan penglibatannya telah menolak keputusan ICAO itu dan menyifatkannya sebagai “berat sebelah”.