Bekas timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Mohamad Ali Mohamad hari ini hadir ke Bukit Aman bagi menyerahkan audio yang didakwanya terkait Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.
Mohamad Ali, yang ditemani peguam Rafique Rashid Ali menyerahkan rakaman audio tular serta telefon bimbit kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) polis Bukit Aman untuk siasatan forensik.
"Kita ada dua peranti, satu perakam suara yang kita akan serahkan kepada polis diraja Malaysia (PDRM) kerana itulah yang diminta PDRM. Pihak polis memerlukannya dari segi siasatan forensik," kata Rafique kepada media di Bukit Aman, hari ini.
Rafique berkata pihaknya juga telah memohon perlindungan keselamatan bagi dua saksi yang tampil memberi keterangan untuk mengesahkan suara dalam audio berkenaan.

Menurutnya, polis memaklumkan kesediaan untuk memberi perlindungan tersebut.
Dua saksi terbabit membuat laporan polis masing-masing pada 4 dan 5 Mei lalu di Balai Polis Batang Tiga, Melaka.
Sebelum ini, beberapa audio yang memuatkan perbualan antara dua individu, termasuk salah seorang dipanggil "bos", telah tersebar di media sosial.
Klip pertama dipercayai merujuk perbincangan mengenai laporan yang akan dibuat di balai polis manakala klip kedua memuatkan perbincangan tentang status laporan tersebut serta janji ganjaran selepas tugasan selesai.

Sebelum ini, Mohamad Ali (gambar atas, tengah) yang juga bekas ketua Umno Tangga Batu ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 15 April berkaitan dakwaan rasuah.
Ab Rauf menafikan penglibatan dirinya dalam kes berkenaan malah menyifatkan spekulasi yang mengaitkannya itu tidak berasas.
Sementara itu, Mohamad Ali berharap siasatan terhadapnya dilakukan secara adil dan telus, dengan keyakinan penuh terhadap integriti PDRM.
"Saya menaruh keyakinan kepada PDRM yang merupakan satu badan yang menjadi benteng terakhir kepada rakyat di negara ini meletakkan kepercayaan bahawa pasukan polis ini bertindak secara telus, jujur mengikut lunas undang-undang," katanya.
