Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nurul Izzah risau orang muda lebih percaya influencer

Cabaran utama untuk pemimpin dan parti politik negara ketika ini, kata Nurul Izzah Anwar, ialah memenangi kembali kepercayaan rakyat.

Menurut Naib Presiden PKR yang kini bertanding bagi jawatan nombor dua parti itu, kebanyakan rakyat – terutama golongan muda – lebih mempercayai pempengaruh dan pemimpin masyarakat setempat berbanding ahli politik.

Memetik data tinjauan yang tidak dinamakan, Nurul Izzah berkata, sebanyak 68 peratus orang muda tidak mengambil pusing hal-hal politik semasa.

“Mereka lebih banyak meletakkan kepercayaan pada tangan influencer (pempengaruh), asatizah, pimpinan masyarakat yang mereka rasakan lebih mewakili (suara) mereka.

"Jadi, mana-mana parti politik pun, apabila kita ada maklumat ini... (apa) yang saya cadangkan, yang saya mahukan, perkara pertama kita lakukan (ialah) kita kongsi (maklumat) dengan pimpinan supaya kita dapat ‘melawan’ apabila masanya tiba," katanya.

Dia berkata demikian ketika berucap pada program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Membina Parti Kita, di Kuantan, Pahang, malam tadi.

Ia adalah lanjutan siri jelajah Nurul Izzah dan pasukannya ke seluruh negara menjelang pemilihan parti dijadualkan berlangsung pada 23 Mei ini.

Turut hadir calon Naib Presiden PKR, Amirudin Shari, dan calon Ketua Wanita, Fadhlina Sidek.

Saling belajar, berkongsi

Dalam pemilihan kali ini Nurul Izzah bertanding bagi jawatan timbalan presiden dalam pertembungan satu lawan satu. Seorang lagi calon bagi jawatan berkenaan ialah penyandang, Rafizi Ramli.

Menurut Nurul Izzah, dia tidak mahu PKR menjadi parti minoriti dan terus kehilangan sokongan bukan Melayu pada masa depan.

Bagi tujuan itu, katanya, dia menyuarakan pandangan bahawa rundingan antara parti disemak semula sebagai persiapan menghadapi PRU akan datang.

Namun, Nurul Izzah tidak menjelaskan secara terperinci mengenai pandangannya itu, sama ada merujuk kepada rundingan antara parti komponen dalam PH atau membabitkan parti lain dalam kerajaan perpaduan.

"Dari awal, paling tinggi pada tahun 1999 undi Melayu kita tak sampai tahap 55 peratus, sekarang selalunya 30 peratus (undi Melayu). Selangor jauh lebih tinggi (berbanding negeri lain).

“Jadi adakah salah kita cuba cari jalan, belajar, saling berkongsi apa yang dilakukan di Selangor dengan negeri-negeri lain,” katanya lagi.

Untuk rekod baru-baru ini Rafizi mendedahkan bahawa PH berdepan dengan isu kritikal berkaitan sokongan kepada mereka, sama ada daripada kalangan Melayu atau bukan Melayu.

Kata Rafizi, jika PKR ingin mengekalkan penguasaan antara 30 hingga 40 kerusi parlimen yang dimenanginya, parti itu memerlukan sekurang-kurangnya 35 peratus sokongan Melayu.

“Kalau kita tak cecah 35 peratus (sokongan Melayu), buatlah macam mana pun, peluk dan damaikan akar umbi macam mana pun, kita tak akan menang PRU akan datang,” katanya di Seremban.

Kenyataan itu selari dengan dapatan firma penyelidik, Ilham Centre, yang turut menyatakan perkara sama.

Bukan peneliti dari pejabat

Nurul Izzah pada majlis malam tadi turut mengingatkan kepemimpinan PKR mengenai prestasi parti itu dan PH dalam PRU ke-15 apabila gabungan berkenaan kehilangan beberapa kerusi penting kepada PN.

"Ini adalah isyarat jelas yang memerlukan perubahan strategi... strategi lama perlu dinilai semula,” katanya..

Terdahulu, Amirudin ketika berucap pada program sama berkata sasaran PKR untuk memenangi 50 kerusi bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya hasil perancangan dan gerak kerja dilaksanakan bersama Nurul Izzah sejak lebih setahun lalu.

Amirudin Shari

“Memang kita dah rangka, bincangkan, ada gerak kerjanya, bukan hanya jadi peneliti dashboard di pejabat selepas bangun tidur.

"Kita kena turun perkukuhkan jentera dan itulah tugas pertama saya, Izzah dan pimpinan lakukan selepas kami diberikan mandat.

“Jika tuan-tuan beri kepercayaan, kita akan lihat bagaimana trend pengundian, komunikasi dan memperkasa jentera, pasukan parti, Pemuda dan Wanita bagi pastikan 50 kerusi disandarkan pada PRU depan akan dimenangi dengan bergaya,” katanya lagi.

Menteri Besar Selangor itu menambah, sasaran diletakkan tidak terhad kepada Pahang dan Terengganu sahaja, bahkan turut membabitkan kawasan strategik di Kelantan.

"Kita pernah ada kerusi (menang) di Kelantan dan dengan gerak kerja yang kita lakukan sekarang, tidak mustahil untuk kita kembali mendapat (menang) kerusi di Ketereh, Tanah Merah, Machang dan juga Kota Bharu.

"Semua ini tidak mustahil jika kita perkukuhkan jentera, komunikasi dan rapatkan saf kepimpinan sedia ada,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS