Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mulakan dengan reformasi SPRM, kata Bersih pada Izzah
Diterbitkan:  May 24, 2025 10:18 PM
Dikemaskini: 3:40 PM

Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata kini terpulang kepada Nurul Izzah Anwar untuk memacu reformasi SPRM, susulan kemenangannya bagi jawatan timbalan presiden PKR.

Faisal merujuk komitmen yang disuarakan Nurul Izzah pada 15 Mei lalu, untuk membangkitkan isu lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, sekiranya menang dalam pemilihan PKR.

“Kini tanggung jawab di kakinya untuk tunaikan komitmen-komitmen tersebut, untuk memastikan obor reformasi tetap menyala dan dapat mendorong ia dilaksanakan.

“Maka, agenda reformasi yang dia harus mulakan adalah reformasi SPRM,” kata Faisal di X hari ini.

Katanya, struktur SPRM telah gagal apabila diuji dalam skandal 1MDB.

“Namun belum ada usaha untuk bawa reformasi struktural kepada badan tersebut yang dikhuatiri memungkinkan skandal seumpama 1MDB berulang kembali.

“Sebagai individu yang banyak terlibat dengan libat urus bersama NGO, saya yakin dia terbuka dengan tuntutan yang dibawa NGO,” katanya lagi.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Pada pertengahan bulan ini, kontrak Azam dilanjutkan buat kali ketiga untuk tempoh setahun.

Pelantikan semula itu mengundang kritikan, antaranya berkaitan siasatan skandal rasuah di Sabah yang melibatkan beberapa Adun dan pemimpin kerajaan negeri.

Nurul Izzah sebelum ini menyifatkan pelanjutan kontrak Azam sebagai sesuatu yang “tidak dialu-alukan” dan menegaskan PKR perlu berpendirian tegas dalam isu reformasi.

Nurul Izzah juga berkata dia akan bersemuka dengan bapanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai isu tersebut dalam ruang lingkup parti sekiranya dipilih menjadi timbalan presiden.

Mengulas perkara itu dalam satu himpunan di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur malam ini, Faisal berkata perlu menunaikan janjinya.

“Jaminannya itu dibuat kepada awam, mandat telah diberikan oleh ahli PKR sendiri.

“Dia harus memikul tanggungjawab ini untuk memastikan rakyat tidak putus harapan,” katanya.

Anwar, dalam ucapan di kongres PKR semalam, mempertahankan pelantikan semula Azam dengan berkata Azam menunjukkan “keberanian luar biasa” dalam menangani kes rasuah berprofil tinggi, termasuk memburu tokoh korporat — sesuatu yang menurutnya tidak dilakukan oleh SPRM sebelum ini.

Anwar turut membidas pihak yang mengkritik SPRM kerana tidak memberi sokongan ketika suruhanjaya itu mengambil tindakan terhadap golongan elit.

Katanya lagi, walaupun dia boleh melantik ketua pesuruhjaya baru, dia tidak yakin pengganti Azam akan berani berhadapan dengan golongan “tauke besar”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS