Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kontrak Azam: Nurul Izzah sedia sampaikan bantahan pada Anwar

Nurul Izzah Anwar sekali lagi mengulangi pendiriannya yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan menyambung kontrak Azam Baki sebagai pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali kedua.

Calon Timbalan Presiden PKR itu berkata, dia sedia menyuarakan bantahan tersebut kepada presiden parti tersebut, Anwar Ibrahim – yang juga bapanya – jika terpilih dalam pemilihan dijadualkan pada 23 Mei ini.

"Saya akan bercakap (mengenai Azam) dalam skop parti," katanya kepada media selepas program Pertemuan Khas Anggota & Pimpinan Keadilan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden PKR, Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor, serta calon-calon lain yang bersama dengan kumpulan berkenaan.

Pada 10 Mei lalu, Nurul Izzah Anwar mengkritik pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM buat kali ketiga dan menganggapnya sebagai keputusan yang "tidak dialu-alukan".

"Pemanjangan kontrak sebegini menyukarkan perubahan mendasar berlaku.

"Kita memerlukan keberanian penjawat awam, pimpinan serta anggota parti dan lainnya untuk memastikan kita punyai kekuatan iltizam untuk membuat pilihan baru," katanya dalam catatan di X.

Sementara itu dalam ucapannya Nurul Izzah mengimbau kembali bagaimana perjuangan PKR yang bermula di ibu negara Kuala Lumpur.

Nurul Izzah juga memetik kisah langkah permulaannya dalam politik apabila dipertaruhkan kali pertama sebagai calon PKR bagi menentang penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, Shahrizat Abdul Jalil.

Katanya perasaan gerun dan takut berdepan dengan Shahrizat – ketika itu seorang menteri dan ketua Wanita Umno Malaysia – tidak boleh dinafikan kerana dia cukup berpengaruh di situ.

"Saya ingat ketika itu ditakdir bertanding di kawasan yang berkali-kali Keadilan (PKR) tidak pernah menang iaitu di Lembah Pantai.

"Nak cakap tak takut saudara saudari, lawan Datuk Seri Shahrizat sebelum isu NFC... apa pun kita lawan kerana ini proses," katanya ketika berucap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS