Kes sekatan perjalanan ke atas aktivis seni dan grafik, Fahmi Reza, terus menjadi bara dalam ruang awam.
Ia bertambah rancak dengan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, menyifatkan insiden tersebut sebagai membuka "kotak Pandora" yang menuntut kerajaan melakukan segera reformasi institusi.

Puad berkata, bahawa sekatan ke atas Fahmi adalah pelik dan menimbulkan persoalan lebih besar apabila pihak-pihak berkaitan – termasuk Pejabat Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara – masing-masing tampil dengan kenyataan yang saling bercanggah.
"Kerajaan mesti melakukan segera reformasi institusi supaya lebih telus dan konsisten.
“Sukar mempercayai wujud masalah komunikasi antara PDRM dan Imigresen," katanya menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini.
Dia turut mempersoalkan sama ada penjelasan Razarudin Husain, semalam hanyalah cubaan "menjaga air muka" semata-mata.
Isu sekatan terhadap Fahmi, yang cuba ke Singapura untuk menghadiri konsert pada 7 Jun lalu, mencetuskan perdebatan hangat selepas aktivis itu mendakwa dirinya disekat tanpa sebarang alasan rasmi.
Dakwanya, pegawai imigresen memaklumkan bahawa larangan tersebut datang dari Bukit Aman, walaupun PDRM kemudian mendakwa Fahmi tidak disekat, sebaliknya hanya berada dalam "senarai pemantauan".
“Senarai ini bukan sekatan pergerakan,” kata Razarudin, yang menjelaskan bahawa ia merupakan sebahagian daripada prosedur dalaman.

Namun begitu, bagi Fahmi dan para pemerhati, penjelasan itu tidak memadai. Fahmi menegaskan bahawa dia tetap dinafikan hak untuk bergerak bebas — hak yang dijamin oleh Perlembagaan — dan mengumumkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan.
"Kalau rakyat buat salah, korang tak tunggu lama untuk heret kami ke mahkamah. Kali ni, giliran rakyat pula untuk heret pihak berkuasa ke mahkamah," tegasnya.
Puad, yang menyokong gesaan agar wujud akauntabiliti dalam institusi kerajaan, turut mengungkit insiden melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad, yang mendakwa pernah dua kali dihalang ke luar negara untuk menunaikan umrah walaupun tidak disiasat atau dituduh.

"Mesti ada akauntabiliti.J angan tolak sana tolak sini. Ambil tindakan kepada mereka yang cuai," katanya, memberi isyarat bahawa budaya menuding jari perlu dihentikan.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan siasatan dan meminta PDRM memberi penjelasan lanjut.
Namun, perintah itu dilihat sebagai reaktif dan gagal menjawab persoalan lebih asas: mengapa senarai pemantauan boleh bertindak sebagai larangan de facto, dan siapa sebenarnya yang berkuasa membuat keputusan tersebut?
