Bekas suami kepada Loh Siew Hong yang memeluk Islam telah meninggal dunia.
Free Malaysia Today memetik peguam Loh, Shamsher Singh Thind, mengesahkan kematian Muhammad Nagahswaran Muniandy, 38.
Mualaf itu dilaporkan meninggal dunia semalam.
Loh dan Nagahswaran melangsungkan perkahwinan mereka secara sivil pada tahun 2008. Namun perkahwinan itu berakhir akibat dakwaan keganasan rumah tangga yang menyebabkan Loh dimasukkan ke hospital. Dia kemudian memfailkan perceraian pada Disember 2019.

Bagaimanapun, semasa sedang pulih daripada kecederaan di hospital, dilaporkan bahawa suaminya membawa ketiga-tiga anak mereka dan menukar agama mereka pada 7 Julai 2020.
Pada Mac 2021, Loh telah diberikan hak penjagaan tunggal, pemeliharaan, dan kawalan terhadap anak-anaknya, dan pasangan itu sah bercerai pada September tahun yang sama. Pada Februari 2022, anak-anak Loh – yang ketika itu berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat – telah diserahkan kembali kepada ibunya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpus.
Mahkamah Persekutuan pada April tahun lalu memutuskan bahawa kedua-dua ibu bapa perlu memberikan persetujuan untuk penukaran agama anak mereka, dan mengesahkan bahawa anak-anak Loh kekal beragama Hindu.
Pada April tahun ini, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan kerajaan negeri Perlis yang berkaitan usaha untuk mengembalikan status Islam kepada tiga anak Loh.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) dan kerajaan negeri berhasrat membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 10 Januari tahun sama, yang membenarkan rayuan Loh untuk membatalkan penukaran agama secara unilateral terhadap anak kembarnya yang berusia 16 tahun dan anak lelakinya yang berumur 13 tahun, serta mengembalikan status Hindu mereka seperti yang tertera pada sijil kelahiran.
