Jabatan Peguam Negara (AGC) akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Najib Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).
Namun AGC menafikan dakwaan yang pihaknya melakukan “pendakwaan cacat” untuk kes tersebut.
“Jabatan ini sentiasa mengekalkan tahap dan kualiti tertinggi selaras dengan jangkaan rakyat.
“Kami akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan akan meneliti dan mempertimbangkan semua aspek sebelum mengambil sebarang langkah selanjutnya,” kata AGC dalam kenyataan malam ini.
Hari ini, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur K Muniandy membenarkan permohonan yang dikemukakan Najib atas alasan kes berkenaan berlanjutan begitu lama, manakala pihak pendakwaan dianggap tidak bersedia memulakannya dalam masa terdekat.
Muniandy dilaporkan berkata, pihak pendakwaan belum bersedia mendakwa kes itu kerana belum memperoleh dan mengumpulkan dokumen-dokumen penting yang diperlukan sebagai bukti.
“Penantian terlalu lama untuk perbicaraan ini menjadi suatu beban berpanjangan bagi tertuduh dan menafikan haknya untuk mendapat penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya,” katanya, sambil menambah pihak pendakwaan boleh meneruskan kes itu apabila mereka bersedia.
AGC menjelaskan yang pihak pendakwaan tiada pilihan kecuali terpaksa menunggu - menyebabkan kes tersebut tertangguh - sehingga dokumen yang diperlukan diperolehi, iaitu apabila perbicaraan sebuah kes berkaitan 1MDB selesai.
“Perlu ditekankan bahawa dokumen material tersebut telah tersedia namun sedang diguna pakai sebagai keterangan dalam perbicaraan 1MDB yang masih sedang dibicarakan.
“Pihak pendakwaan telah memohon untuk diberikan masa agar dapat mengumpulkan kesemua dokumen material berkenaan untuk dikemukakan sebagai bukti dan keterangan dalam perbicaraan kes SRC ini.
“Kelewatan ini bukan disengajakan tetapi untuk memastikan integriti dokumen sebagai keterangan dalam perbicaraan sentiasa terpelihara,” kata AGC.
Lima kali ditangguh
Susulan keputusan mahkamah hari ini, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menggesa reformasi menyeluruh terhadap AGC, dengan menyifatkan jabatan itu sudah lama beroperasi tanpa sebarang akauntabiliti dan rakyat sudah letih dengan "pendakwaan cacat".
Dalam kritikannya terhadap AGC, Zaid antara lain berkata keputusan DNAA dan NFA (tiada tindakan lanjut) jsering dibuat tanpa sebarang justifikasi.
Namun peguam Haniff Khatri Abdulla berpandangan keputusan DNAA itu dibuat demi memastikan keadilan kepada semua pihak terlibat.
Katanya, keputusan itu tidak boleh dilihat dengan stigma negatif memandangkan alasan utama DNAA diberikan Najib dalam permohonannya adalah dokumen-dokumen yang diperlukan kini sedang digunakan dalam perbicaraan jenayah dan sivil lain melibatkan SRC.
Malah, dia berkata dengan mengambil kira perkara itu, AGC sendiri yang sepatutnya memohon Najib diberikan DNAA.
Mengulas lanjut, AGC berkata kes tersebut didaftarkan pada 7 Februari 2019 dengan perbicaraan ditetapkan sebanyak lima kali namun semuanya ditangguhkan.
“(Perbicaraan ditetapkan) pada Jun 2020, Julai hingga Ogos 2021, Mac hingga April 2022, September 2024 serta April dan Mei 2025, di mana kesemua tarikh perbicaraan kes telah ditangguhkan,” kata AGC.
Menurut AGC, tarikh-tarikh tersebut ditangguhkan atas tiga sebab utama, iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wabak Covid-19, permohonan pihak pembelaan dan permohonan pihak pendakwaan.