Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemberi maklumat adukan kes ‘laporan palsu’ menantu Musa Aman ke IPCC
Diterbitkan:  Jul 7, 2025 1:06 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Ahli perniagaan, Albert Tei mendakwa polis tidak bertindak ke atas laporannya yang menuduh Adun Membakut, Arifin Arif membuat laporan palsu.

Tei sebelum ini mendakwa Arifin, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dan menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman, menawarkan penyelesaian kepadanya berhubung skandal rasuah lesen pelombongan di negeri itu.

Ahli perniagaan yang membongkar skandal rasuah Sabah, kini meningkatkan lagi tekanan — kali ini dengan memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) berhubung dakwaan kegagalan polis mengambil tindakan terhadap laporannya ke atas Adun Membakut, Arifin Arif.

Albert Tei dijangka akan hadir ke pejabat IPCC di Putrajaya bersama-sama peguamnya, Mahajoth Singh pagi esok.

Malaysiakini juga dimaklumkan yang Tei telah menerima makluman daripada SPRM pada 30 Jun lalu, bahawa siasatan telah dibuka ke atas laporannya terhadap Arifin, yang didakwa Tei menawarkan penyelesaian kepadanya agar dia menutup mulutnya.

Albert Tei

Arifin juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dan menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman.

Pada 6 Februari lalu, Tei membuat laporan balas terhadap Arifin, sehari selepas Arifin membuat laporan polis berhubung laporan Malaysiakini berkenaan dakwaan tawaran penyelesaian itu.

Tei mendakwa Arifin - yang turut dituduh menerima suapan berhubung lesen penerokaan mineral - telah membuat “laporan palsu” yang mendakwa laporan Malaysiakini sebagai “tidak tepat, mengelirukan, mengandungi fakta yang salah dan berunsur fitnah”.

Arifin turut menuduh Tei sebagai sebahagian daripada kartel yang mahu memonopoli lesen pelombongan mineral di Sabah.

"Oleh yang demikain, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang memfitnah dan bersekongkol dengan kumpulan kartel ini yang cuba memonopoli lesen perlombongan di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan.

Namun Tei, dalam laporan balasnya, berkata dia sanggup ditahan dan didakwa jika siasatan akhirnya mendapati dakwaan dia ditawarkan penyelesaian adalah tidak benar.

Pada masa sama, dia menggesa Arifin diheret ke mahkamah jika dia memang didapati membuat laporan polis palsu.

Dia juga memberikan Malaysiakini lebih 50 paparan skrin perbualan Whatsapp yang berkaitan dengan dakwaan tawaran penyelesaian itu.

Dalam laporannya, dia menyatakan kesediaan untuk menyerahkan semua paparan skrin tersebut kepada polis untuk memudahkan siasatan mereka.

Bulan lalu, Tei bersama dua Adun Sabah — Andi Suryady Bandy dan Yusof Yacob — mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan skandal tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS