Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini bertitah proses pelantikan Ketua Hakim Negara serta presiden Mahkamah Rayuan perlu dibuat secara berhati-hati.
Titah baginda, Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-269 berlangsung semalam dan ia berjalan dengan lancar serta baik.
Sultan Sharafuddin yang bertindak sebagai pengerusi mesyuarat itu menambah, antara agenda utama yang dibincangkan ialah rundingan bagi pelantikan jawatan hakim-hakim kanan.
Selain Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, titah baginda, mesyuarat itu turut membincangkan pelantikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.
"Dalam proses rundingan tersebut, beta menekankan tentang keperluan untuk mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tentang proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan," titah baginda.
Tambah Sultan Sharafuddin, baginda menyokong penuh kenyataan Istana Negara pada 10 Julai lalu yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh membuat pelantikan tersebut selepas mendapat nasihat perdana menteri dan berunding dengan Majlis Raja-Raja.
"Proses yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan ini perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama dalam pemerintahan negara.
"Sehubungan dengan itu, semua pihak diseru mengelak daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperolehi fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara," titah baginda.

Isu pelantikan Ketua Hakim Negara serta beberapa jawatan kanan lain terus menjadi tanda tanya dan diwarnai dengan pelbagai dakwaan sebelum ini.
Antara lain, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, didakwa cuba campur tangan dengan mengemukakan nama yang berbeza daripada apa dicadangkan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepadanya.
Beberapa pengkritik berpendapat kuasa perdana menteri mencadangkan sebarang nama - dan tidak tertakluk kepada senarai dikemukakan JAC - berpotensi mengundang krisis pada masa depan.
Peguam berhimpun, berarak
Bagaimanapun pada 9 Julai lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said memberitahu pelantikan tersebut akan dibuat mengikut peruntukan perlembagaan negara.
Katanya kerajaan sedar sepenuhnya kebimbangan orang awam berhubung perkara tersebut.
Pada masa sama, kata Azalina, ketika ini Hakim Besar Malaya, Hasnah Mohammed Hashim, sedang menjalankan kuasa dan tugas Ketua Hakim Negara sehingga kekosongan tersebut diisi.
"Kerajaan juga menyeru agar semua pihak memberi ruang agar proses yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dapat berjalan dengan lancar dan sewajarnya demi kepentingan negara, kedaulatan undang-undang dan kestabilan institusi,” katanya.
Rentetan daripada kegusaran itu ratusan peguam dan aktivis berhimpun dan berarak dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum mempertahankan kewibawaan institusi kehakiman.
Ia turut disertai anak perdana menteri sendiri - yang juga Timbalan Presiden PKR - Nurul Izzah Anwar.
Himpunan itu dianjurkan oleh Badan Peguam Malaysia.
