Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan besarkan isu sampah dalam demo - Nik Nazmi
Diterbitkan:  Jul 30, 2025 11:32 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam Nik Nazmin Nik Ahmad mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati mengulas perhimpunan menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim berundur, Sabtu lalu.

Anggota parlimen Setiawangsa itu berkata, tindakan membesarkan isu seperti jumlah sampah yang dikutip mungkin kelihatan remeh, tetapi boleh dilihat sebagai memperlekeh keresahan rakyat.

Malah, katanya memberi mesej perkauman secara tersirat. 

“Ini bukan niatnya, tetapi politik adalah tentang persepsi. 

“Isu ini akan memberi ruang simpati kepada penganjur, dan mengalihkan fokus keterbukaan kerajaan dan kelemahan hujah pembangkang,” katanya.

Antara sampah dalam perhimpunan itu

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mendakwa hampir 20 metrik tan sampah ditinggalkan selepas perhimpunan dan pekerja pembersihan terpaksa bekerja sehingga lewat malam.

Bagaimanapun, seorang anggota parlimen Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan itu kerana tidak selari dengan anggaran polis bahawa 18,000 hadir demonstrasi berkenaan.

"Menteri kata 20 tan (sampah), bersamaan dengan 20,000kg. Kalau seorang bawa satu botol kosong, (jumlahnya) 20,000kg, maknanya yang hadir 400,000," katanya.

Penganjur mendakwa terdapat 500,000 peserta dalam perhimpunan itu. Malaysiakini menganggarkan angkanya menghampiri 25,000.

Nga Kor Ming

Menulis di media sosial pagi ini, Nik Nazmi berkata kritikan rakyat walaupun disampaikan dalam bentuk demonstrasi, tidak harus disambut dengan reaksi defensif semata-mata. 

Sebaliknya, katanya, ia harus menjadi pencetus untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu asas rakyat seperti kos sara hidup, keadilan sosial, dan masa hadapan ekonomi negara. 

“Isu-isu dasar inilah yang kemudian akan diolah dan dibakar dengan sentimen kaum dan agama agar lebih tular bagi meraih undi, walaupun menyebabkan rakyat papa kedana.

“Masa hadapan negara ini tidak dibina dengan retorik, tetapi dengan kejujuran, kerja keras, dan kesediaan untuk mendengar,” katanya.

Terima kasih pada PM, polis

Dia bagaimanapun mengucapkan terima kasih atas kerjasama kerajaan dan polis kepada penganjur dan peserta himpunan Turun Anwar.

“Walaupun terdapat perbezaan pandangan politik dan saya juga tidak menyokong mesej himpunan itu, hak rakyat untuk berhimpun secara aman merupakan tiang penting dalam sistem demokrasi. 

“Dalam hal ini, sikap Perdana Menteri @anwaribrahim yang terbuka dengan demonstrasi tersebut harus dihargai,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi turut mengambil kesempatan mengecam anggota parlimen Jasin Zulkifli Ismail yang memimpin bacaan qunut nazilah untuk “menggambarkan seolah-olah kerajaan hari ini memusuhi Islam”

“Perbezaan politik tidak wajar disalut dengan retorik kebencian agama,” katanya yang baru meletakkan jawatan menteri selepas kalah pemilihan PKR.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen Zulkifli dan penganjur berkaitan tindakan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS