Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bahawa kira-kira 20 tan sampah ditinggalkan selepas perhimpunan 'Turun Anwar' pada hari Sabtu.

Awang Solahudin Hashim (PN-Pendang) mempersoalkan ketepatan angka itu semasa sesi soal jawab, berkata ia tidak selari dengan anggaran polis bahawa 18,000 hadir demonstrasi berkenaan.

"Menteri kata 20 tan, bersamaan dengan 20,000 kg. Kalau seorang bawa satu botol kosong... 20,000kg, maknanya yang hadir 400,000," katanya.

Meskipun polis menganggarkan 18,000 hadir, penganjur perhimpunan mendakwa terdapat 500,000 peserta. Anggaran Malaysiakini berdasarkan pemerhatian di lapangan meletakkan angka itu menghampiri 25,000.

Nga, sebagai maklum balas, berkata angka 20 tan itu datang daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), yang turut melaporkan keperluan tenaga kerja tambahan untuk kerja pembersihan selepas perhimpunan itu.

“Angka itu bukan saya bagi, ia datang dari SWCorp. Ratusan pekerja dikerah untuk pembersihan.

“Saya tidak menafikan ada ahli unit Amal membantu, dan saya berterima kasih kepada mereka.

“Tetapi 20 tan sampah yang tinggal di Sogo, Jalan Petaling, dan Dataran Merdeka tidak boleh dinafikan,” tegasnya.

Tuduhan bertubi-tubi Awang bahawa Nga berbohong membawa kepada kekecohan sebentar di Dewan Rakyat, dengan ahli Parlimen PAS lain menyuarakan sokongan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS