Di tengah-tengah 'perang mulut' antara Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh dan beberapa pemimpin DAP, Ketua Pemuda PKR (AMK) Kamil Abdul Munim tampil memberi peringatan tentang erti sebenar Jalur Gemilang.
Menurutnya, bendera kebangsaan itu lambang kedaulatan, maruah dan bukti perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Sejarah membuktikan bahawa Jalur Gemilang tidak pernah menjadi milik mana-mana parti politik, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia yang cintakan tanah air. Memuliakannya bermakna kita mengangkat nilai kebersamaan, memelihara maruah negara melebihi ego politik, dan menolak segala bentuk perpecahan.
"AMK Malaysia akan terus kekal sebagai suara yang menyejukkan keadaan, menjernihkan perbualan, dan mendidik masyarakat kepentingan mempertahankan Jalur Gemilang, lambang perpaduan dan kedaulatan negara.

"Kita tidak akan mampu mempertahankan Jalur Gemilang di sempadan jika kita sendiri merobek semangatnya di meja perbualan,” kata Kamil pada kenyataan.
Dia berkata insiden bendera dikibarkan secara terbalik itu harus dipandang serius namun tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk meniup sentimen politik atau saling memprovokasi.
“Politik yang matang bukan tentang siapa paling lekas menuding jari, tetapi siapa paling pantas mencari jalan penyelesaian.
"Anak muda hari ini tidak mahu melihat pemimpin mereka menjadi juara retorik tetapi gagal merintis jalan penyelesaian.
Sengaja bikin panas
"Kita harus sedar bahawa sentimen yang dipanaskan secara sengaja mahupun tidak akan menutup ruang perbincangan rasional dan mengheret rakyat kepada polarisasi yang merugikan,” ujarnya.
Isu itu tercetus apabila SJKC Chung Hua di Negeri Sembilan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada 1 Ogos lalu.
Pihak sekolah kemudiannya memohon maaf dan menyatakan mereka telah mengambil tindakan segera membetulkannya manakala Adun Lukut Choo Ken Hwa memaklumkan kesilapan itu dilakukan oleh seorang pekerja kurang upaya intelek.

Pihak polis kini menyiasat insiden tersebut di bawah empat peruntukan undang-undang, iaitu Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Walaupun pihak sekolah telah memohon maaf, Akmal terus bertikam lidah dengan pemimpin DAP, khususnya Pemuda DAP, yang kemudiannya bertukar menjadi saling berbalas gelaran.
Sementara itu, Kamil yang juga setiausaha politik kepada Menteri Kewangan Anwar Ibrahim berkata kebenaran di sebalik insiden itu hanya akan muncul melalui siasatan yang adil dan telus, bukan melalui spekulasi atau tuduhan melulu di media sosial.
“Jika ia disengajakan, maka hukuman sewajarnya perlu dikenakan tanpa kompromi. Jika ia tidak disengajakan, maka usaha memperkukuh kesedaran sivik perlu digandakan.
“AMK juga berpendapat bahawa ruang perbahasan dan tenaga sepatutnya ditumpukan kepada perkara yang lebih memberi manfaat kepada rakyat termasuk pemulihan ekonomi dan pengukuhan perpaduan.
“Kita kini berada di ambang sambutan kemerdekaan dan suasana ini sepatutnya dipenuhi semangat kebersamaan bukannya permusuhan,” tambahnya.
