Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TPR baru SPRM ditahan polis disyaki miliki dadah
Diterbitkan:  Sep 24, 2025 10:31 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) agensi itu kerana disyaki memiliki dadah.

Menurut kenyataan SPRM, individu berkenaan baru sahaja melapor diri di suruhanjaya itu pada minggu lalu dan ditahan pihak polis di kediamannya semalam.

Hasil pemeriksaan turut menemui bahan terlarang berkenaan.

SPRM memaklumkan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kes tersebut kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut serta memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh.

"SPRM ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya ini tidak akan berkompromi dengan salah laku, pelanggaran undang-undang atau perbuatan jenayah oleh mana-mana pegawai atau kakitangan dan komited untuk memastikan integriti serta tata kelola organisasi sentiasa dipelihara,” kata kenyataan itu.

SPRM menegaskan pihaknya tidak berkompromi dengan salah laku, pelanggaran undang-undang atau perbuatan jenayah oleh mana-mana pegawai atau kakitangan, selain komited memastikan integriti serta tatakelola organisasi sentiasa dipelihara.

Sementara itu sumber berkata suspek merupakan seorang lelaki berusia 34 tahun yang baru sahaja melapor diri di SPRM pada 19 Sept lalu.

“Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya di beberapa kementerian serta di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum melapor diri ke SPRM baru-baru ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Aidi Sham Mohamed, mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa suspek ditahan di rumahnya di Putrajaya.

Bernama memetik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Hussein Omar Khas mengesahkan TPR berkenaan direman selama tiga hari hingga esok bagi membantu siasatan kes berkaitan dadah.

Dia berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ya saya sahkan tangkapan berkenaan dan kes sedang disiasat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS