Lima lagi penyokong Hindraf hadapi tuduhan cuba membunuh
Lima orang lagi yang menyertai perhimpunan Hindraf dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan cuba membunuh.
Seramai 26 penyokong Hindraf didakwa atas tuduhan yang sama semalam.
Mereka menghadapi tuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis, Dedi Abd Rani di depan kuil Sri Subramaniam di Batu Caves, antara jam 1 pagi dan 8 pagi 25 November lalu.
"Mesej dari tuduhan itu kepada orang ramai ialah jika anda berhimpun di tempat ibadat dan ketika beribadat berlaku sesuatu insiden, seseorang tercedera, ada kemungkinan anda akan didakwa atas tuduhan membunuh," peguambela G.K. Ganesan memberitahu Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi tadi.

"Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia di mana orang yang menyertai perhimpunan haram telah didakwa cuba membunuh," katanya.
"Ini bukan sesuatu yang baik," tambahnya ketika berhujah supaya tuduhan tersebut ditarik balik.
Sepertimana yang lainnya, kelima-lima mereka juga turut didakwa atas tuduhan merosakkan hartabenda awam di tempat dan masa yang sama.
Mereka juga dituduh merosakkan tujuh kenderaan - dua Proton Wira, Proton Waja, Kia Pregio, Perodua Rusa, Toyota Hiace dan Rover Defender.
Dua daripada lima tertuduh itu turut didakwa pagi tadi atas tuduhan menyertai perhimpunan haram.
Dua belas daripada 31 tertuduh, turut didakwa secara berasingan atas tuduhan menyertai perhimpunan haram. Minggu lalu, 15 orang telah didakwa atas tuduhan menyertai perhimpunan haram.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri mengetuai pasukan pendakwa, bersama dengan Ketua Jabatan Pendakwaaan Pejabat Peguam Negara, Datuk Yusof Zainal Abiden.
Hakim Azimah Omar menolak usaha pasukan peguambela untuk membatalkan tuduhan tersebut, dan berkata tuduhan terhadap tertuduh ada asasnya.
Pihak peguambela tertuduh berkata mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi pada hari Khamis.
Kira-kira 3,000 menyertai perhimpunan di kawasan kuil tersebut pada awal pagi 25 November lalu.
Polis menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air untuk menyuraikan orang ramai. Seramai 69 orang ditahan, tetapi 43 daripadanya dilepaskan selepas diberi amaran.