Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganggap tindakan Peguam Negara mendakwa 31 orang yang dikatakan terlibat di dalam demonstrasi, dengan dakwaan cubaan membunuh, sekaligus menafikan hak mereka untuk diikatjamin.

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia merupakan satu ketidakadilan yang jelas dan nyata.

Penyokong Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) itu telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan cubaan membunuh dan merosakkan hartabenda awam sewaktu perhimpunan di Kuala Lumpur pada 25 November lalu.

Mereka juga didakwa cuba membunuh seorang anggota polis, Dadi Abdul Rani.

Menurut Dr Wan Azizah, mereka akan kekal ditahan di Penjara Sungai Buloh sehingga kes tersebut didengar semula pada 14 hingga 18 Januari tahun depan.

"Lebih mengejutkan lagi, Peguam Negara merasakan bahawa beliau sendiri patut hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam melakukan pendakwaan, sedangkan selama ini beliau tidak pula mengendahkan kes-kes yang jauh lebih penting.

"Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan banyak kes jenayah yang serius terpaksa ditolak oleh mahkamah kerana mutu siasatan dan pendakwaan yang lemah," kata Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan hari ini.

Utamakan jenayah serius

Pihak pendakwaraya dan polis, kata beliau, sepatutnya menumpukan tugas mereka kepada usaha membanteras jenayah serius dan bukannya berusaha untuk mencabuli hak asasi rakyat Malaysia.

"Apatah lagi jika tindakan mereka boleh dilihat seperti menunjukkan keangkuhan jika tidak berniat jahat; mala fide," tambahnya.

PKR tegas beliau, konsisten dalam menegaskan bahawa parti itu sama sekali tidak menyokong sebarang bentuk keganasan.

"Namun dakwaan cubaan membunuh tersebut sememangnya tidak boleh diterima fikiran yang waras.

"Insiden Batu Buruk adalah satu contoh nyata yang mana orang ramai telah ditembak dengan peluru hidup oleh polis, sedangkan kejadian tersebut dapat dielakkan sekiranya pihak polis bertindak secara bijaksana serta mengikut tatacara berhemah ketika mengawal orang ramai.

"Apatah lagi bagi kes ini, tindakbalas berpatutan dan bertanggungjawab amat mustahak kerana insiden tersebut berlaku di dalam sebuah kuil," tambahnya.