Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Saya bangkitkan isu Gaza ketika kongsi kereta dengan Trump
Diterbitkan:  Oct 28, 2025 6:58 PM
Dikemaskini: 1:56 PM

Mengulas kritikan terhadap hubungan Putrajaya yang dilihat mesra dengan Washington, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan dia telah membangkitkan mengenai perang di Gaza kepada Presiden AS Donald Trump dan menggesa perjanjian damai yang lebih "komprehensif, adil dan berkekalan" yang menghormati hak Palestin.

Berucap pada sidang akhbar hari ini, Anwar berkata dia memanfaatkan sepenuhnya pertemuan empat mata dengan Trump semasa perjalanan mereka bersama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk Sidang Kemuncak Asean.

“Saya katakan bahawa walaupun saya menyokong usaha beliau (Trump) - dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan hakikat bahawa beliau agak bertekad untuk memastikan keamanan di Gaza (dan) menghentikan pembunuhan berterusan - tetapi, saya katakan jika anda bercakap tentang keamanan yang bertahan dan berkekalan, maka ia mestilah komprehensif.

“Beliau menjawab bahawa (isu ini) berada dalam fasa pertama dan mereka sedang berusaha ke arahnya,” kata Anwar.

Terdahulu, para pemimpin pembangkang dan sekutunya mengkritik sambutan "berlebihan" kerajaan terhadap ketibaan Trump di Malaysia pada 26 Oktober, dengan PAS menggelarnya "seolah-olah mencurah garam ke atas luka penduduk Gaza."

Anwar menambah hari ini bahawa dia telah menjelaskan perbincangannya sebelum ini dengan para pemimpin Hamas kepada Trump sebaik sahaja dimaklumkan bahawa presiden AS itu mengetahui tentang pertemuan berkenaan.

Anwar juga berkata dia tidak membiarkan dirinya terpukau dengan limosin berperisai yang digelar "The Beast" yang dinaikinya bersama Trump itu.

"Hubungan diplomasi tidak semua perlu dijerit di luar. Yang penting saudara mewakilkan kepada saya sebagai jurucakap, dan saya bercakap untuk mempertahankan kepentingan rakyat Palestin dan Gaza," kata perdana menteri, sambil menekankan bahawa dia juga telah “melakukan yang terbaik” untuk merayu kepada Trump dan wakil AS yang lain semasa pertemuan dua hala rasmi AS-Malaysia mengenai isu Gaza.

Menjawab kritikan daripada pihak tertentu yang mempertikaikan rundingannya dengan Trump, Anwar mempersendakan tanggapan bahawa Malaysia telah “mengalah” kepada AS, dengan menegaskan bahawa campur tangan Washington telah memastikan serangan di Gaza dihentikan.

“Jangan lupa - kita boleh menjerit sepuas hati di sini, tetapi orang ramai mati (dan) dibom di Gaza…inilah peluang kita untuk bertemu. Kini, sekurang-kurangnya dengan campur tangan Amerika, serangan telah berhenti, dan penaklukan Tebing Barat terhalang.

“Adakah (pelan damai) berjaya sepenuhnya? Tidak, tetapi sekurang-kurangnya serangan dan pembunuhan telah dihentikan,” katanya.

Mengecam pihak yang cuba mempolitikkan perkara itu, Anwar menegaskan bahawa mereka yang mengadu tentang dakwaan kekurangan ketegasannya harus bertanya kepada diri sendiri: “Siapa yang berani berucap depan Trump?

“Setiap kali saya jumpa dia (Trump), (saya bawa isu) Gaza. Saya berkata: terima kasih atas penyelesaian awal, tetapi bagi penyelesaiannya sepenuhnya, bagi penghormatan kepada rakyat (Palestin), jangan ada lagi perkara ini berlaku. Pastikan kecurangan tidak lagi dilakukan. Itu kita lakukan, kerana apa? Saya perdana menteri Malaysia.”

Mengulas dakwaan bahawa Malaysia dan Asean secara keseluruhannya terintimidasi oleh AS, Anwar merujuk kepada pemeteraian perjanjian perdagangan penting dengan China awal hari ini sebagai bukti yang membuktikan sebaliknya.

“Kita telah menandatangani naik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-China 3.0...kalau kita takut kepada negara AS, mana mungkin kita menandatangani (perjanjian itu) dengan China sehari selepas Trump pulang," katanya.

Pengkritik sebelum ini berhujah bahawa perjanjian perdagangan Malaysia-AS, yang ditandatangani oleh Anwar dan Trump pada hari Ahad, menjejaskan perdagangan Malaysia dengan negara lain - terutamanya China.

Walau bagaimanapun, ahli ekonomi berpendapat bahawa perjanjian itu tidak menandakan peralihan daripada China, tetapi akan menguji tindakan pengimbangan Malaysia ketika ia menavigasi syarat di bawah Perkara 5.1, yang memerlukan "tindakan pelengkap" terhadap sekatan perdagangan AS.

Mengulas perkara yang berasingan, Anwar juga menyasarkan mereka yang mengecamnya - termasuk individu yang berpengetahuan agama - kerana seolah-olah mencium pipi Louise Araneta-Marcos, isteri Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr.

“Ya, dia pegang (bahu) saya...tetapi, kami tidak bersentuhan,” kata perdana menteri, mengaitkan visual yang mengelirukan yang menunjukkan perkara itu disebabkan oleh sudut kamera.

“Bagaimana orang agama boleh menjadi seperti itu? Tak tahu fakta, terus hukum saya munafik, ini maksiat. Tak boleh saudara, macam tu," tambah Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS