Albert Tei menuduh ahli parlimen DAP, Lim Lip Eng, tidak mempunyai keberanian untuk berdepan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang menurut ahli perniagaan itu, berhasrat melindungi pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dikaitkan dengan skandal perlombongan.
“Lim tanya saya kenapa saya tidak bekerjasama dengannya dulu. Mungkin dia lupa bahawa pada 11 Nov tahun lalu, ketika dia beri cadangan kepada saya, pada hari yang sama peguam saya telah menghantar surat kepada perdana menteri berkenaan skandal rasuah itu.
“Masihkah Lim ingat respons daripada perdana menteri? Bagaimana Anwar mengetepikan usaha saya untuk membongkar skandal rasuah itu kerana dia mahu melindungi pemimpin kerajaan GRS demi agenda politiknya,” katanya pada satu kenyataan.
Tei merujuk kepada keengganan Anwar memberi perlindungan kepadanya sebagai pendedah maklumat, atas alasan ahli perniagaan itu individu yang menawarkan rasuah sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral.

Memetik kenyataan Anwar, Tei berkata dia “bukan bodoh” dan mendakwa respons itu sebenarnya isyarat halus untuk menghalangnya daripada terus membongkar skandal berkenaan.
“Oleh itu, saya mahu tanya Lim sekali lagi: Adakah kamu cukup berani untuk menentang kehendak ketua kamu? Maaf YB, saya tidak yakin dan tidak percaya bahawa kamu sanggup menentang perdana menteri untuk bekerjasama dengan saya,” katanya.
Skandal ‘dikuburkan’
Tei turut mencabar dakwaan Lim bahawa jika dia mengikut nasihat ahli Parlimen itu, dia mungkin tidak akan didakwa kerana maklumat berhubung skandal tersebut akan disalurkan melalui saluran yang betul.
“Saya mahu beritahu dia bahawa jika saya mendengar cakapnya, skandal rasuah Sabah ini akan dikuburkan selama-lamanya tanpa sesiapa pun mengetahuinya,” katanya.

Tei berhujah dia diseret ke mahkamah kerana melawan tokoh berprofil tinggi dan berkuasa, bukan kerana mendedahkan isu tersebut melalui saluran yang salah.
Ahli perniagaan itu juga menegaskan DAP kini bersekutu dengan GRS menjelang pilihan raya negeri Sabah, sambil menuduh parti itu meninggalkan prinsip yang diperjuangkannya sebelum ini.
“Seolah-olah DAP mempertahankan dan mengesahkan perbuatan korup GRS. Demi kepentingan politik kamu, kamu sanggup mengkhianati prinsip antirasuah yang kamu perjuangkan selama puluhan tahun.
“Sebab itu, pemimpin DAP mengelak daripada menyoal atau mengecam isu rasuah yang melibatkan sekutu politik mereka di bawah payung Madani,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Lim berkata dia tidak terkejut dengan kenyataan terbaru Tei, mendakwa ahli perniagaan itu cuba mengalihkan perhatian daripada kesalahan sendiri dengan menyalahkan perdana menteri dan DAP.
"Tei, engkau 'menabur angin, menuai badai' (You reap what you sow)."
"Engkau yang menawarkan rasuah. Bukan Anwar Ibrahim, bukan DAP."
"Siapa buat salah, siapa tanggung akibat. Jauhkan orang lain dari masalah yang kau cipta sendiri," katanya sebagai maklum balas terhadap kecaman Tei.
Ikrar dedah di parlimen
Semalam, Lim membangkitkan keengganan Tei berjumpa dengannya berhubung skandal itu selepas ahli perniagaan tersebut mempersoalkan sikap berdiam diri DAP terhadap isu tersebut.
Ahli parlimen Kepong itu berkata, dia telah berikrar untuk mengemukakan bukti dan mendedahkan nama individu terbabit di parlimen ketika Tei mula membongkar skandal itu secara rahsia tanpa nama melalui Malaysiakini pada November lalu.
"Satu soalan penting untuk Tei: Mengapa engkau enggan bekerjasama dengan saya ketika itu," soal Lim.
“Jika Tei memberikan maklumat dan bukti kepada saya pada November lalu, sudah tentu saya akan membawa perkara itu ke parlimen untuk pendedahan dan menuntut tindakan kerajaan. Sangat besar kemungkinan Tei tidak akan dituduh di mahkamah jika dia menyalurkan maklumat itu dengan betul, seperti yang saya tawarkan,” kata Lim lagi.
Pengkritik menuduh Anwar, yang juga pengerusi PH, melindungi ahli politik GRS daripada disiasat meskipun Tei mengemukakan rakaman video, tangkap layar WhatsApp dan dokumen bagi menyokong dakwaannya.
Pada Julai lalu, Tei dan dua Adun Sabah— Andi Suryady Bandy dan Yusof Yacob — telah didakwa di mahkamah berhubung skandal tersebut.
