PAS kesal dengan penahanan lima orang pimpinan Hindraf di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam, kata Setiausaha Agungnya Datuk Kamaruddin Jaffar.

“Penggunaan akta yang zalim dan menahan individu tanpa hak untuk dibicarakan ini, jelas membuktikan yang pihak kerajaan sudah ketandusan idea untuk menangani masalah yang dicetuskan oleh pihak Hindraf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lima orang pemimpin Hindraf itu ditahan mengikut Seksyen 8(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dihantar ke Pusat Tahanan Kemunting untuk ditahan selama dua tahun.

Mereka yang ditahan ialah Penasihat Undang-undangnya - P Uthayakumar; peguam M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau - dan setiausaha Hindraf, T Vasanthakumar.

Kamaruddin berkata, PAS merasakan pihak kerajaan sepatutnya meneruskan usaha mendakwa mereka menerusi proses undang-undang di mahkamah yang terbuka sebagaimana yang telahpun dimulakan dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan ISA.

“Tindakan menahan tanpa bicara melalui akta kejam ISA ini hanya akan mencetuskan ketegangan dan membuktikan yang negara ini sesungguhnya menuju ke arah "Negara Polis" sebagaimana yang dinyatakan oleh Presiden PAS baru-baru ini,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya, PAS sekali lagi menegaskan yang parti itu sentiasa bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi mempertahankan keamanan dan keharmonian rakyat dan negara.

Katanya, PAS juga tidak sekali-kali cenderung kepada sebarang tuntutan melampau dari mana-mana pihak yang berkemampuan menjejaskan kestabilan yang sedia ada.

“PAS dan semua pihak yang prihatin terhadap agenda perpaduan nasional sekali lagi mengulangi kesediaan bertemu dengan Perdana Menteri untuk berbincang bagi mengatasi kekusutan yang meruncing yang sedang kita semua hadapi ini,” tambahnya.