ULASAN | Saya menerima pelbagai pertanyaan daripada pihak media dan ahli Amanah tentang isu cadangan penangguhan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun depan.
Hal itu kerana salah satu sumber maklumat isu tersebut dikatakan datang dari Terengganu sendiri, dan saya telah terlibat dengan Amanah Terengganu sejak penubuhannya 10 tahun dulu.
Kenyataan Pengerusi Amanah Terengganu berhubung isu itu dan pengakuannya bahawa dia berkongsi maklumat yang tidak tepat menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Ramai tahu kekecohan dan ketegangan telah timbul semasa konvensyen Amanah pada 8 Nov lalu berpunca daripada dua pihak, iaitu yang mahu pemilihan diteruskan, dan satu lagi mahu ia ditangguhkan.
Atas permintaan dan desakan perwakilan, speaker (pengerusi tetap) sempat membenarkan beberapa peserta menghujahkan isu tersebut sebelum ia terpaksa dihentikan atas sebab kekecohan yang tercetus.
Kedua-dua pihak saling menyalahkan satu sama lain. Ada juga yang menyalahkan speaker yang cuba berlaku adil memberi peluang kedua-dua pihak mengemukakan hujah masing-masing sesuai dengan nilai Amanah meraikan kepelbagaian pendapat mengikut lunas demokrasi.
Saya berpendapat jika tiada langsung perbahasan dibenarkan, keadaan akan menjadi lebih tegang dan lebih buruk.
Selepas keadaan kembali reda, ada pihak penganjur dari Jawatankuasa Amanah Nasional menegur kekecohan yang berlaku adalah tidak perlu kerana tiada keputusan dibuat berhubung pemilihan tahun depan.
Punca membawa kekeliruan
Di sinilah lebih banyak kekeliruan yang timbul kerana hantaran asal Pengerusi Amanah Terengganu dalam group parti peringkat negeri telah menyatakan mesyuarat jawatankuasa nasional telah “memutuskan pemilihan parti akan ditangguhkan selaras dengan Fasal 19.2 (j) Perlembagaan Amanah”.
Dalam kenyataan tersebut beliau menyatakan bahawa ketetapan telah diputuskan.
Ia bercanggah dengan kenyataan dibuat oleh jurucakap penganjur di Konvensyen Amanah lalu bahawa “tiada keputusan dan perbincangan telah dibuat”.
Inilah yang membuat banyak pihak daripada kalangan ahli Amanah dan media bertambah keliru.
Perlu diingat Pengerusi Amanah Terengganu bukan saja merupakan anggota Jawatankuasa Amanah Nasional. Dia juga Pengerusi PH Terengganu, Ketua Pemuda Amanah Nasional dan seorang senator yang rapat serta memiliki kepercayaan tinggi pimpinan teratas Amanah.
Sudah tentu kenyataan beliau di kumpulan WhatsApp Amanah Terengganu diambil serius oleh ahli-ahli parti.
Lagi pun beliau berasa bertanggungjawab memaklumkan satu perkara penting kepada AJK Amanah Terengganu.

Tidak terdapat konsistensi antara kenyataan beliau yang menyatakan perbincangan dan keputusan dibuat, sementara kenyataan wakil Amanah Nasional yang berucap semasa konvensyen pula menyatakan sebaliknya.
Inilah punca yang membawa kekeliruan serta kekecohan dalam kalangan ahli.
Apa yang mendukacitakan lagi, ada pihak menyalahkan speaker yang cuba berlaku adil kepada kedua-dua pihak kerana sedar ada antara perwakilan itu datang dari jauh dengan perbelanjaan sendiri untuk memberi pandangan.
Ini adalah sesuai dengan amalan yang kita selalu sebut bahawa Amanah meraikan kepelbagaian pandangan.
Kekecohan boleh dielakkan
Mendukacitakan juga ada pihak yang melempar kata-kata buruk dan mesej WhatsApp yang tidak sopan kepada speaker, Azhar Ab Shukur.
Ini tidak patut berlaku dalam Amanah yang dipromosi sebagai mengamalkan akhlak mulia.
Semua pihak perlu menghormati speaker yang dipilih oleh konvensyen yang lalu.
Kenyataan-kenyataan yang bercanggah di konvensyen serta kandungan mesej WhatsApp yang tersebar tiga minggu sebelum konvensyen menyumbang kepada kekecohan baru-baru ini dan terpaksa ditangani oleh speaker.
Semua pihak perlu bermuhasabah diri tentang apa yang sebenarnya berlaku tiga minggu sebelum konvensyen.
Tempoh tiga minggu sebelum konvensyen patut digunakan oleh semua pihak yang berkenaan dengan sebaik mungkin untuk mengurus situasi dengan bijaksana.
Dengan langkah sebegitu ketegangan serta kekecohan seperti yang berlaku baru-baru ini dapat dielakkan.
Semoga ia menjadi iktibar buat kita bersama. Apatah lagi Amanah bakal berdepan pemilihan peringkat nasional – yang sehingga kini tarikhnya masih menjadi tanda tanya.
RAJA BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah anggota Jawatankuasa Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
