Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyifatkan tindakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick meletakkan jawatan berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah sebagai lebih bertujuan menarik perhatian daripada tindakan berani kerana benar.
Loke berkata jemaah menteri telah mengadakan mesyuarat khas pada 11 Nov khusus untuk membincangkan isu 40 peratus itu, yang menurutnya menunjukkan betapa pentingnya perkara berkenaan.
“Setelah perbincangan teliti, Kabinet mencapai kata sepakat untuk tidak merayu terhadap keputusan mahkamah mengenai hak 40 peratus Sabah, namun kerajaan bersetuju merayu beberapa perkara dalam alasan penghakiman yang mencadangkan kepimpinan kerajaan Persekutuan sejak 1974 telah menyalahgunakan kuasa.
“Jika kita tidak mencabar penemuan tertentu itu, ia bermakna kerajaan semasa mengakui bagi pihak pentadbiran terdahulu mengenai penyalahgunaan kuasa. Perkara itu boleh membawa implikasi jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loke juga membidas Ewon kerana berulang kali mendakwa Kabinet mengabaikan pandangan Sabah sedangkan hakikatnya, dia gagal menghadiri mesyuarat yang diadakan khusus untuk menyelesaikan masalah itu.
Pada masa sama, Loke turut mempersoal tindakan Ewon yang tidak menggunakan mesyuarat Kabinet untuk menyuarakan bantahannya atau mencabar Peguam Negara secara terus.
“Ewon asyik menekankan isu ini, cuba menjadi wira, tetapi hakikatnya dia tidak hadir pada mesyuarat khas Kabinet itu, sementara Peguam negara hadir untuk menjelaskan perkara berkenaan kepada Kabinet. Ewon tahu tentang mesyuarat itu tetapi dia tidak hadir.
"Jika dia benar-benar berani, mengapa tidak hadir dan berdepan dengan Peguam Negara? Mengapa tidak menyatakan hujahnya secara rasmi dan merekodkannya? Hakikatnya, dia mengelak daripada berbuat demikian,” katanya.
Menurut Loke, walaupun Ewon mengumumkan peletakan jawatan pada 8 Nov, ia belum rasmi dan secara teknikal Ewon masih anggota Kabinet kerana peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa selepas Disember, dan dia kini sedang bercuti.
Dalam kenyataan lain, Loke menegaskan bahawa DAP dan kerajaan Persekutuan kekal komited untuk bekerjasama dengan Sabah bagi merealisasikan tuntutan 40 peratus secara berperingkat, mengikut tatakelola dan proses undang-undang yang betul.
“Sebagai menteri Kabinet, kita mempunyai tanggungjawab memelihara perpaduan Persekutuan. Membuat rayuan terhadap tuntutan ini boleh dieksploitasi oleh individu tertentu untuk membangkitkan emosi, menimbulkan sentimen antipersekutuan dan mempengaruhi pengundi Sabah. Tanggungjawab kita ialah untuk mempertahankan persekutuan dan mengekalkan perpaduan.
“DAP Sabah sentiasa menyokong tuntutan 40 peratus Sabah. Ia tidak boleh sekadar atas kertas. Kita konsisten mendesak Putrajaya mengenai perkara ini dan merupakan kumpulan politik pertama yang mengambil tindakan undang-undang, menunjukkan komitmen teguh kami,” katanya.
-Bernama
