Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wartawan diugut lepas siar berita guru silat dituduh cabul
Diterbitkan:  Nov 17, 2025 7:06 PM
Dikemaskini: 12:39 PM

Seorang wartawan MalaysiaGazette di Melaka membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan, cacian, serangan peribadi serta komen berbentuk hasutan di Facebook susulan laporan berita mengenai seorang guru silat yang disyaki mencabul pelajar berusia 14 tahun.

Wartawan tersebut, Muhammad Rizanizam Abdul Hamid, hadir membuat laporan di Bandar Polis Bukit Baru, Melaka dengan diiringi Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika).

Menurut laporan polis, serangan terhadapnya mula berlaku sejak 16 Nov menerusi akaun Facebooknya, Reza Hamid, selepas penerbitan berita tersebut pada 14 Nov.

Kritikan kasar dan ugutan itu dipercayai berpunca daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan penggunaan tajuk berita yang menyebut “guru silat”, yang didakwa sebagai cubaan memburukkan seni pertahanan diri Melayu.

“Kecaman dan cacian bukanlah menjadi kudis sangat, tapi bila ia terus diamalkan secara berjemaah, satu tindakan harus dibuat.

“Apatah lagi apabila ianya beserta ugutan dan ancaman yang mungkin boleh menggugat keselamatan keluarga aku,” katanya pada satu hantaran di Facebook.

Pengerusi Pendika, Amir Mamat mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang boleh memberi tekanan psikologi serta mengancam keselamatan wartawan berkenaan.

Oleh itu, Amir menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap individu yang terlibat.

“Tindakan berbentuk ugutan tersebut jelas memberikan kesan negatif terhadap beliau dan tidak mustahil boleh merebak kepada pengamal media lain sekiranya dibiarkan berterusan.

“Sehubungan itu, Pendika mengecam sekeras-kerasnya perbuatan ugutan, cacian dan makian tersebut yang disifatkan sebagai keterlaluan serta berpotensi menjejaskan reputasi dan keselamatan wartawan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Gerakan Media Merdeka (Geramm) turut menyatakan solidariti, sambil mengecam sebarang bentuk ugutan atau ancaman — sama ada secara langsung atau dalam talian — terhadap wartawan bertugas.

“Geramm bersama #kawangeramm dari Pendika, turut menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang terlibat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS