Seorang aktivis hak asasi manusia turut mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar susulan kenyataannya berhubung anggota kumpulan Dolla, Sabronzo atau nama sebenarnya, Wan Sabrina.
Pengasas bersama Freedom Film Network (FFN) Anna Har berkata, reaksi yang dilihat melulu dan subjektif oleh individu yang memegang kuasa, seperti menteri dan individu yang memegang autoriti, boleh mendedahkan artis kepada risiko.
Setuju dengan pandangan Latheefa Koya sebelum ini, Anna berkata di era media sosial pada masa ini, ia boleh meningkatkan kebencian dan serangan terhadap artis yang dikritik.
“Kita telah melihat ia berlaku dalam kes filem Mentega Terbang, dengan pembikin dan pelakon berdepan serangan di internet dan malah secara fizikal ekoran kritikan tidak bertanggungjawab dan tidak terkawal.
“Dalam era media sosial di mana segala-galanya boleh diperbesarkan dan dimanipulasi untuk kepentingan tertentu, reaksi subjektif seperti itu boleh mengundang bahaya,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Na’im Na’im antara menyifatkan pemakaian kumpulan Dolla dalam video muzik Question sebagai tidak sesuai dan tidak menghormati sensitiviti budaya dan agama, dan malah mencadangkan untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang syariah terhadap ahli kumpulan yang beragama Islam.
“Dari sudut tindakan itu kita akan lihat (terlebih dulu) kalau ada pelanggaran kepada mana-mana peraturan, enakmen dan jenayah syariah...tindakan jenayah syariah dalam penelitian kita,” katanya.
Susulan itu, video muzik tersebut telah diturunkan.
Latheefa kemudian berkata Na'im tidak seharusnya membuat "ugutan" sedemikian dan dia tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat atau mendakwa rakyat.
“Pendakwaan, sama ada sivil atau syariah, hanya boleh diputuskan oleh pihak berkuasa pendakwaan, selepas siasatan yang adil dan saksama oleh badan penyiasatan yang berkaitan.
“Dengan melancarkan kecaman ini terhadap Wan Sabrina, menteri itu telah memalukan dia secara terbuka walaupun dia tidak didapati bersalah atas sebarang kesalahan. Dia (Na'im) juga telah menjejaskan hak asasi Wan Sabrina untuk siasatan dan perbicaraan yang adil,” katanya.
Anna berkata bersetuju sepenuhnya dengan pandangan Latheefa dan berkata sebarang aduan perlu disiasat melalui saluran sewajarnya untuk memastikan wujud asas di bawah undang-undang sebelum apa-apa tindakan diambil.
Mentega Terbang, yang ditayangkan pada platform penstriman Viu pada 2021, menerima kecaman hebat dan beberapa laporan polis dibuat kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur-unsur yang bercanggah dengan ajaran agama.
Selain kecaman di internet, kereta pelakon, Arjun Thanaraju dan pengarah, Khairi Anwar turut disimbah cat, selain menerima nota ugutan.
