Tujuh belas penyokong Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang ditahan kerana melanggar larangan berhimpun di Parlimen pada 11 Disember lalu, telah dilanjutkan tempoh ikatjamin mereka sehinga 26 Disember depan.

Mereka dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini tetapi sebaliknya ikatjamin mereka dilanjutkan seminggu lagi.

Kesemuanya, 26 ahli Bersih ditahan pada 11 Disember lalu dalam kawasan Parlimen, ketika cuba hendak menyerahkan memorandum membantah pindaan perlembagaan untuk melanjutkan umur perkhidmatan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Sembilan daripada mereka telah dibebaskan tanpa syarat, manakala 17 orang lagi dibebaskan dengan jaminan polis pada kira jam 10 malam kejadian.

Antara yang terakhir dibebaskan ialah Ketua Penerangan PKR, Tian Chua; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh; ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Lo'Lo' Ghazali; Pengerusi Penaja Parti Socialist Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim; Setiausaha Agung penaja PSM, S Arutchelvan dan ahli jawatankuasa pusat parti itu, S Sivarajan.

Peguam mereka, Amer Hamzah Arshad berkata tidak dapat dipastikan sama ada mereka akan dihadapkan ke mahkamah pada 26 Disember depan.

'AG tunjuk kuasa

Sementara itu, Tian Chua memberitahu Malaysiakini bahawa tempoh ikatjamin itu mungkin dilanjutkan kerana Pejabat Peguam Negara masih mengkaji tuduhan terhadap mereka.

“Kita tidak mengadakan perhimpunan ketika ditahan, oleh itu perintah larangan mahkamah tersebut tidak boleh dikuatkuasakan ke atas kami. Mereka juga tidak boleh mendakwa kami menyertai perhimpunan haram kerana kami sampai di Parlimen secara berasingan," katanya.

Bagaimanapun, beliau menolak kemungkinan mereka akan dibebaskan tanpa dihadapkan ke mahkamah, ekoran semalam, Peguam Negara Abdul Gani Patail telah menggugurkan tuduhan cubaan membunuh terhadap 31 individu yang didakwa menyertai perhimpunan haram anjuran Hidraf (Hindu Rights Action Force).

"Sebab mereka menggugurkan tuduhan itu semalam ialah untuk menunjukkan bahawa mereka mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan nasib anda. Jika kami tidak suka, kami akan masukkan anda ke penjara. Tetapi jika anda sedia menyatakan kekesalan, kita aka bebaskan anda," katanya.

“Mereka juga mahu menunjukkan bahawa hanya MIC boleh bebaskan anda," kata Tian Chua, merujuk kepada Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu yang telah merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya membebaskan 31 tertuduh semalam.

“Oleh itu, mereka tidak akan melepaskan kami, jika tidak, ia akan memberi tanggapan bahawa mengadakan perhimpunan tidak salah. Mereka hanya menghadapi masalah bagaimana hendak mendakwa kami," katanya.

Perintah mahkamah

Sebelum perhimpunan Bersih pada 11 Disember lalu, polis telah mendapatkan perintah mahkamah yang melarang empat individu dan penyokong Bersih daripada menghadiri atau menyertai perhimpunan tersebut.

Mereka ialah pemimpin PAS - Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Mohamad Sabu dan Adenaan Saad - serta Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud.

Arahan itu juga menyebut 'pihak-pihak berkaitan yang lain' turut dilarang menyertai perhimpunan tersebut. Perintah tersebut membenarkan polis menahan mereka yang melanggar perintah tersebut.

Perintah mahkamah yang sama juga diperolehi pihak polis untuk menghalang perhimpunan Hindraf pada 25 November lalu. Berita asal