Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli memberi amaran bahawa pelantikan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukan sekadar mencetuskan kontroversi, malah menjejaskan kekuatan moral kerajaan dalam soal reformasi institusi.
Mengulas polemik yang tercetus selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir meluahkan keprihatinannya berhubung pelantikan tersebut, bekas menteri ekonomi itu berkata tindakan itu “sangat jarang berlaku” dan tidak boleh dipandang ringan.

“Jarang berlaku apabila Tuanku Sultan membuat kenyataan umum mengenai pelantikan atau perjalanan pentadbiran kerajaan.
“Kenyataan itu tidak boleh dipandang ringan, dan walaupun Anwar mungkin berharap isu ini reda begitu sahaja, ia menyentuh hati satu segmen penting dalam masyarakat — khususnya dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan/PKR.
“Mereka yang sangat mengambil berat tentang kebebasan kehakiman adalah penyokong teras PH/PKR, terutamanya dalam kalangan kelas menengah. Lagipun, pengamal undang-undang merupakan antara penyokong terawal reformasi kerana kebimbangan mereka terhadap tindakan pihak berkuasa dan badan kehakiman ketika itu,” katanya.
Isnin lalu, Tuanku Muhriz, menyuarakan kebimbangan baginda terhadap pelantikan Ahmad Terrirudin sambil menekankan pentingnya badan itu kekal bebas.
Baginda bertitah kebimbangan disuarakan pihak yang berkenaan terhadap pelantikan tersebut perlu ditangani secara telus.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga adalah bekas timbalan presiden PKR berkata pelantikan Ahmad Terrirudin ke JAC kini dilihat oleh sebahagian masyarakat sebagai pengesahan kepada dakwaan lama bahawa wujud perancangan untuk meletakkannya sebagai ketua hakim negara — satu dakwaan yang mula diperkatakan sejak Jun lalu.

Rafizi memberi amaran bahawa persepsi ini, jika tidak ditangani, akan menjejaskan kredibiliti reformis kerajaan. Katanya, imej dan keyakinan terhadap komitmen reformasi ialah faktor penentu jika mereka mahu mendapatkan mandat baru pada penggal kedua.
“Sentimen awam seperti ini terbentuk perlahan-lahan. Jika dibiarkan, ia menghakis kredibiliti reformis kerajaan,” katanya.
Namun perkara yang lebih membimbangkan kata Rafizi ialah dakwaan yang terdapat dalam minit JAC yang bocor — sehingga kini masih tidak disiasat.
Dia menyifatkan situasi itu sebagai “double jeopardy” yang memerangkap kerajaan dari dua sudut: isu kredibiliti individu yang dilantik, dan persepsi bahawa perdana menteri tetap berkeras meneruskan pelantikan walaupun dakwaan berkaitan belum diselesaikan.
“Bukan sahaja persoalan mengenai kredibiliti Ahmad Terrirudin terus berlegar, malah pelantikan ke dalam JAC memberi gambaran perdana menteri bertekad meletakkan beliau ke jawatan penting badan kehakiman,” katanya lagi.
Pada Julai lalu, dokumen tersebar di media sosial yang dikatakan sebagai sebahagian minit mesyuarat JAC pada Mei lalu termasuk dakwaan campur tangan kehakiman oleh seorang hakim kanan.

Minit tersebut yang merupakan dokumen sulit, dilaporkan mengandungi dakwaan yang serupa dengan laporan polis yang dibocorkan sebelum ini dan dibuat bagi pihak seorang hakim kanan pada Jun lalu.
Pada 21 Nov lalu Malaysiakini menyiarkan kritikan Majlis Peguam berhubung pelantikan Ahmad Terrirudin – yang juga hakim Mahkamah Persekutuan – ke dalam JAC.
Walaupun mengakui kuasa pelantikan itu berada di bawah perdana menteri, Majlis Peguam mengingatkan jawatan tersebut lazimnya diisi oleh hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan.
Presiden Majlis Peguam Ezri Abdul Wahab berkata penyimpangan amalan tersebut menimbulkan persoalan yang wajar mengenai asas keputusan dibuat, khususnya apabila tiada penjelasan jelas mengenai kriteria yang digunakan.
“Ketelusan, kejelasan dan penghormatan terhadap kelaziman adalah penting untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Ahmad Terrirudin dilantik untuk menganggotai JAC selama dua tahun berkuat kuasa pada 15 Nov lalu.
Dia dilantik oleh melalui kuota eksekutif yang memperuntukkan lima anggota ke dalam JAC.
Melalui kuota tersebut perdana menteri boleh melantik seorang hakim Mahkamah Persekutuan dan empat tokoh yang bukan anggota eksekutif atau perkhidmatan awam.
Empat anggota lain yang secara automatik menganggotai JAC berdasarkan jawatan mereka dalam badan kehakiman ialah ketua hakim negara yang menjadi pengerusinya, presiden Mahkamah Rayuan, serta dua hakim besar yang mewakili Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
