Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Suhakam supaya menarik balik keputusannnya membatalkan siasatan awamnya terhadap aduan mengenai seorang anggota polis melepaskan tembakan peluru hidup dalam insiden di Batu Burok, Kuala Terengganu pada 8 September lalu.

Suhakam sebelum ini membatalkan siasatan awam tersebut kerana dua mangsa dalam kejadian itu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada 9 Disember lalu atas tuduhan cuba mencederakan anggota polis ketika perhimpunan haram itu.

Pengerusi panel siasatan awam itu Datuk Muhammad Shafee Abdullah berkata Di bawah peruntukan Seksyen 12(2) dan (3) Akta Suhakam 1999 menyatakan suruhanjaya itu tidak boleh menyiasat apa-apa aduan yang berhubungan dengan apa-apa perlanggaran hak asasi manusia yang merupakan hal prosiding yang belum selesai di mahkamah atau telah diputuskan secara muktamad oleh mahkamah.

Pada 9 Disember lalu, Muhammad Azman Aziz, 21, dan Suwandi Abdul Ghani, 38 - mangsa yang terkena tembakan anggota polis itu - dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan cuba mencederakan Lans Koperal Wan Abdul Aziz Wan Omar dan juga terhadap tuduhan alternatif telah dengan sengaja mencederakan anggota polis yang sama.

Jurucakap Bersih, Sivarasa Rasiah berkata interpretasi Muhammad Shafee mengenai akta tersebut bercanggah dengan semangat untuk melindungi dan mempromosi hak asasi manusia.

Dalam satu kenyataannya, Sivarasa menjelaskan bahawa Suhakam tidak dibenarkan menyiasat aduan pelanggaran hak asasi manusia sekiranya kes pelanggaran hak asasi manusia yang sama dibawa ke mahakamah.

Dalam kes Batu Burok, beliau berkata, aduan mengenai anggota polis menembak ke arah orang ramai yang tidak bersenjata, tidak sama dengan kes menyebabkan kecederaan di mahkamah.

Seksyen 12 Akta Suhakam 1999, katanya, jika difahami secara mendalam, bertujuan "mengelak mangsa pelanggaran hak asasi manusia daripada membawa aduannya ke mahkamah dan kemudiannya meminta (Suhakam) menjadikan siasatan."

Sehubungan itu, beliau menggesa Suhakam supaya menarik pembatalan tersebut dan meneruskan siasatan awam terhadap kejadian anggota polis melepaskan tembakan peluru hidup dalam insiden Batu Buruk itu.

Suhakam, menurutnya, telah menghantar isyarat yang salah kepada pihak polis dan pihak penguatkuasa apabila membatalkan siasatan tersebut kerana ia "akan menggalakkan lebih banyak pelanggaran dan budaya bebas daripada hukuman."

September lalu, seorang anggota polis didakwa melepaskan lima tembakan peluru hidup ke atas orang ramai yang menyertai satu bantahan pada kira-kira jam 11.40 malam dekat Hotel Permai Inn di Jalan Sultan Mahmud. Ketika itu polis sedang berusaha untuk menyuraikan orang ramai yang berkumpul di ceramah Bersih.

Dalam insiden tersebut Muhammad Azman dan Suwandi terkena tembakan itu, masing-masing di dada dan di leher.