Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada kelompangan undang-undang seks songsang - Ulama PAS
Diterbitkan:  Dec 1, 2025 1:45 PM
Dikemaskini: 12:27 PM

Dewan Ulama PAS (DUPP) menegaskan wujud kelompangan undang-undang dalam menangani kes seks songsang melibatkan hubungan sejenis.

Mengulas mengenai kejadian tangkapan 202 individu di sebuah spa di ibu negara baru-baru ini, ketuanya Ahmad Yahaya berkata, apa yang berlaku ini adalah impak daripada duluan kes Iki Putra dan diikuti dengan kes Nik Elin Abdul Rashid beberapa tahun lalu. 

Katanya, pihak yang tegas mempertahankan kesemua undang-undang ini harus ditangani dengan Mahkamah di peringkat Persekutuan (Mahkamah Sivil) hari ini sekadar melihat betapa undang-undang yang ada meninggalkan sisi-sisi kelompangan yang jelas.

"Ia menyerlahkan sebab yang sebenar mengapa kes ini diperjuangkan kelompok liberal suatu masa dahulu. Mahkamah di peringkat negeri (mahkamah syariah) sepatutnya diberikan kuasa mengadili kes-kes sebegini kerana perbuatan tersebut adalah suatu jenayah berat dalam undang-undang Islam.

"Malangnya peruntukan di mahkamah syariah bagi kegiatan songsang ini dicabar dalam kes Iki Putra dan Nik Elin.

"Adakah umat Islam sedar akan hakikat yang sedang berlaku? Kebejatan moral yang parah dibendung atas alasan bidang kuasa sivil semata-mata sehingga menenggelamkan sisi sebenar daripada perspektif agama yang diperteguhkan dalam mahkamah syariah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Yahaya

Kes Nik Elin, Iki Putra

Mahkamah Persekutuan pada Feb 2024 membenarkan petisyen peguam Nik Elin Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman membatalkan 16 peruntukan enakmen kesalahan jenayah negeri Kelantan.

Antara peruntukan yang dianggap tidak sah ialah mengenai pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), liwat (Seksyen 14), persetubuhan dengan mayat (Seksyen 16), persetubuhan dengan bukan manusia (Seksyen 17), dan gangguan seksual (Seksyen 31).

Nik Elin dan Tengku Yasmin

Mahkamah memutuskan badan perundangan Kelantan bertindak melebihi kuasa yang ada dengan menggubal enakmen yang bercanggah dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes Iki Putra Mubarrak pula, Mahkamah Persekutuan pada 2021 memutuskan peruntukan jenayah syariah Selangor bagi hukuman "persetubuhan bertentangan dengan aturan fitrah" sebagai tidak sah kerana bertindih dengan undang-undang persekutuan (seks luar tabii).

Polis buntu

Semalam Malaysiakini melaporkan pihak polis berdepan jalan buntu untuk mendakwa individu yang ditahan ketika serbuan besar-besaran terhadap sebuah kelab kesihatan yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti seksual songsang di Chow Kit pada 28 Nov.

Menurutnya, meskipun kes disiasat bawah Seksyen 377 dan 372 Kanun Keseksaan, pihak polis berdepan jalan buntu kerana tiada bukti yang boleh membantu pihak polis menjalankan siasatan ke arah perkara tersebut.

Seksyen 377 merujuk kepada pelbagai kesalahan berkaitan hubungan seks luar tabii manakala Seksyen 372 pula merujuk kesalahan pelacuran. 

Siasatan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 25 (liwat) dan Seksyen 47 (percubaan liwat) Akta Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.

Ahmad yang juga anggota parlimen Pokok Sena menggesa kerajaan meneliti kelompangan yang ada dan segera mengatasinya.

"Ia tidak terhenti kepada persoalan hukuman berbentuk punitif yang efektif semata-mata, tetapi juga prosedur pendakwaan yang memerlukan pindaan dan penambahbaikan daripada pihak berkuasa.

Kita tidak wajar membiarkan seks songsang dan pengaruh LGBTQ sedemikian terus dibiarkan berleluasa dan dinormalisasi tanpa sedar.

"Kita wajar bertindak tegas dengan pelbagai langkah bagi membendung gejala songsang ini daripada terus berleluasa.

Usah biarkan negara runtuh di sebalik anai-anai yang memakan kayu. Ketika itu kita hanya sedar ketika runtuhan tersebut sudah pun berlaku," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS