Kerajaan Melaka mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri untuk memeriksa semua pokok, terutamanya yang di tepi jalan raya, supaya ia tidak membahayakan pengguna.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Rais Yasin, berkata walaupun setiap PBT mempunyai jawatankuasa cantasan pokok untuk melaksanakan kerja menebang dan mencantas, namun tindakan proaktif perlu diambil segera susulan kejadian semalam.
“Melaka memang ada jawatankuasa itu dan mereka melaksanakan aktiviti tersebut secara berkala tetapi dalam keadaan cuaca tidak menentu akibat perubahan iklim, perkara itu (pokok tumbang) boleh berlaku.
“Kebanyakan pokok di Melaka telah diinsuranskan dan mangsa boleh membuat tuntutan selain kerajaan negeri juga akan melihat bantuan yang boleh dihulurkan kepada mereka,” katanya.
Rais berkata demikian kepada pemberita pada sambutan Hari Integriti Nasional dan Hari Antirasuah Kebangsaan peringkat Melaka serta pembukaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri Bukit Katil di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh, Adun Bukit Katil, Adly Zahari, yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, serta an Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Khusairi Yahaya.
Semalam, seorang penunggang motosikal berusia 22 tahun maut manakala wanita 19 tahun yang memandu Perodua Myvi cedera cedera selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Tun Razak-Ayer Keroh.
- Bernama
