Seorang pemimpin Umno mendakwa sebenarnya ada sebab lain mengapa MCA memilih untuk tidak menyertai PN namun menjadikan PAS sebagai alasan untuk berbuat demikian.
Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, berkata antara faktor yang mungkin dipertimbangkan oleh MCA sebelum membuat keputusan mengenai masa depan parti itu ialah prestasi Bersatu.
Katanya PN bukan gabungan yang berpotensi cerah untuk disertai MCA selepas Bersatu mencatat pencapaian yang buruk dalam PRN Sabah baru-baru ini, selain “perpecahan dalaman” parti tersebut.
“Kalau PAS dijadikan alasan (untuk menolak PN), kenapa MCA boleh terima PAS ketika mereka sama-sama duduk dalam kerajaan PN di bawah Muhyiddin Yassin sebelum ini?” katanya kepada Malaysiakini.
Mohd Puad berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Presiden MCA, Wee Ka Siong, yang menegaskan jika parti itu memilih untuk mengambil laluan terpisah daripada BN, PN bukanlah pilihan buat mereka.
Hal itu kerana, kata Wee, keberadaan PAS dalam gabungan tersebut menyebabkan ia tidak digemari oleh masyarakat Cina ekoran sikap parti terbabit yang beberapa kali membuat kenyataan kontroversi.
PAS juga, kata Wee, sering menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam.
Masa depan lebih buruk
Bagaimanapun PAS hari ini menyatakan kesediaan parti itu berdialog dengan MCA bagi menjernihkan keadaan.
Malah Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menegaskan mereka pernah bekerjasama semasa menjadi kerajaan dalam pimpinan PN sehingga tiada konflik besar berlaku sehingga membawa kepada polemik terbuka.
Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani, pula menegaskan MCA masih kekal bersama BN dan hubungan kedua-dua parti berada dalam keadaan baik.
Kata Johari, semua pihak juga perlu menerima hakikat bahawa sukar bagi mana-mana negara memiliki parti politik yang berkuasa penuh, justeru apa yang perlu dilakukan sekarang ialah menyesuaikan diri.
Untuk rekod, PAS pernah menjadi parti yang kuat menyokong MCA seperti yang dilakukan mereka dalam pilihan raya kecil (PRK) di Tanjung Piai pada 16 Nov 2019.

PRK itu menyaksikan calon MCA, Wee Jeck Seng, merampas kerusi parlimen tersebut daripada PH. Bagaimanapun ketika itu PN belum wujud dan Bersatu masih menjadi sebahagian daripada PH.
Kata Mohd Puad, seandainya MCA memilih untuk meninggalkan BN namun pada masa sama tidak menyertai PN, dia yakin masa depan parti berkenaan akan menjadi lebih teruk.
Ketika ini, kata Mohd Puad, MCA dilihat gagal memahami landskap politik baru yang menunjukkan tiada sebarang parti politik boleh berdiri sendirian dan sebarang kesilapan langkah boleh menyebabkan mereka “cepat pupus.”
“MCA jangan takbur dan jual mahal. MCA bukan lagi jenama yang ada kuasa tawar menawar.yang tinggi,” katanya.
