Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu iktiraf UEC: Kenyataan Nga bangkitkan semula gambaran momok DAP

Usaha DAP agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf telah mencetuskan semula kecaman serta dakwaan bahawa parti itu ingin mengancam kedudukan orang Melayu.

Ia selepas kenyataan yang dibuat Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming, yang pada mulanya hanya disiarkan di media sosial dan media berbahasa Cina, namun kemudian diterjemah dan mengundang perhatian meluas semalam.

Dalam hantaran media sosial pada Isnin lalu, Nga mendedahkan DAP akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung pengiktirafan UEC.

Dia membuat kenyataan itu semasa acara makan malam kutipan dana di sebuah sekolah Cina di Taiping, Perak pada Ahad lalu.

Dalam lingkaran media sosial Melayu, kenyataan itu dilihat sebagai DAP memberi tekanan kepada Anwar, dengan rata-rata komen bernada negatif.

Ada yang membuat kenyataan bernada perkauman dan ada juga yang beranggapan jika UEC diiktiraf, ia bukti yang Anwar tunduk kepada DAP.

Menghakis sokongan bukan Melayu terhadap PM

Anwar sememangnya berdepan kesukaran untuk mendapatkan sokongan Melayu, terutamanya dalam kalangan konservatif, dan tentangan terhadap Nga dijangka akan mempengaruhi keputusannya sama ada untuk meluluskan pengiktirafan UEC atau tidak.

Pada masa sama, sokongan orang bukan Melayu terhadap Anwar dan PH juga kian merosot, seperti yang terlihat pada pencapaian buruk DAP dan PKR dalam PRN Sabah.

Orang bukan Melayu adalah asas sokongan PH. Gabungan itu berisiko mencatatkan pencapaian buruk dalam pilihan raya akan datang jika sokongan mereka terus terhakis.

Mungkin sedar akan reaksi negatif yang tercetus, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke semalam berusaha untuk membingkai semula naratif UEC sebagai antara langkah yang turut melengkapi usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Dalam temu bual dengan saluran YouTube berbahasa Cina, The Keywords, Loke berkata kerajaan akan memperkenalkan dasar baru untuk memperkukuh semua bahasa dalam tempoh enam bulan, termasuk pengiktirafan UEC.

Pengkritik DAP dalam kalangan orang Cina mendesak agar pengiktirafan UEC diberikan tanpa sebarang syarat.

Sebelum ini, terdapat cadangan bahawa pengiktirafan UEC akan disertakan dengan syarat pelajar mesti lulus peperiksaan Bahasa Melayu dan Sejarah berdasarkan sukatan pelajaran SPM.

DAP akan berada di bawah tekanan hebat daripada penyokongnya untuk memastikan UEC akhirnya diiktiraf.

Semalam, Loke berkata jika DAP gagal melaksanakan pembaharuan dalam tempoh enam bulan akan datang, parti itu akan “menilai semula” kedudukannya dalam kerajaan sambil terus menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Kenyataan ditafsirkan sebagai petanda DAP mungkin keluar daripada kabinet, satu langkah yang tetap akan menjadi tamparan hebat kepada kredibiliti Anwar, walaupun dia kekal sebagai Perdana Menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS