Polis akan menutup jalan menghala ke Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pagi esok bagi menghalang satu perhimpunan yang dirancang diadakan pada sebelah malamnya.

Perhimpunan tersebut anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) adalah sebagai membantah penahanan tanpa bicara di bawah ISA.

Beberapa kumpulan sivil, termasuk Hindraf (Hindu Rights Action Force), dijangka turut serta.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman memberitahu pemberita bahawa polis akan juga membuat sekatan jalanraya sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut laporan Bernama, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu kerana penganjurnya tidak mendapat permit.

"Kita tak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang berdegil," katanya.

Sementara itu, Penyelaras GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata mereka akan membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya.

"Ini berita bagi saya, Saya akan membincang perkara ini rakan-rakan saya terlebih dahulu," katanya.

Penyelaras Hindraf, RS Thanenthiran pula kecewa dengan keputusan itu.

Katanya, pihak polis mesti menghormati hak rakyat untuk mengadakan perhimpunan secara aman.

Dianggarkan terdapat 89 tahanan ISA di Pusat Tahanan Kamunting. Yang terbaru ialah lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA atas sebab-sebab keselamatan negara.

Tahanan tersebut, biasanya untuk tempoh dua tahun, boleh diperbaharui atas budi bicara Menteri Keselamatan Dalam Negeri.