Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu pengiktirafan UEC: Akmal jahil, guna naratif palsu - MP DAP
Diterbitkan:  Dec 11, 2025 3:21 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Pengarah Pendidikan Politik DAP Howard Lee menyifatkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggunakan “politik ketakutan” dan memutar belit realiti pendidikan di Malaysia dalam kenyataannya berkenaan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Howard yang juga anggota Parlimen Ipoh Timor berkata, kenyataan Akmal bukan sahaja “jahil”, malah merupakan merupakan “penggunaan naratif palsu secara sengaja untuk menghasut perseteruan sosial”.

Menurutnya, isu utama bukanlah tentang penolakan Akmal terhadap UEC, tetapi kegagalannya untuk mendapatkan “fakta asas yang betul”, termasuk dakwaan bahawa “tiada negara di dunia yang mengiktiraf pendidikan pelbagai aliran”.

“Kenyataan seumpama itu menunjukkan kejahilannya,” kata Howard dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Akmal mengkritik Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming susulan pengumumannya bahawa parti itu akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung UEC.

Akmal Saleh

“Saya nak tanya YB menteri (Nga), kamu tahu tak dalam dunia ni Malaysia saja yang iktiraf, ada sistem pendidikan vernakular? Tak payah pergi tempat lainlah, kau pergi, adakah Singapura iktiraf sistem lain daripada sistem kebangsaan mereka. Jawapannya tidak.

"Kepada PMX saya rayu sangat janganlah kita nak mengiktiraf UEC ni,” kata Akmal.

‘UEC diiktiraf universiti antarabangsa’

Membalas kenyataan itu, Howard berkata pendidikan pelbagai aliran dan berasaskan bahasa ibunda diamalkan secara meluas di seluruh dunia, termasuk di Switzerland, Filipina, India, Kanada, Guatemala, dan beberapa negara Eropah, di mana pendidikan dalam bahasa minoriti dan dwibahasa “diinstitusikan dan diiktiraf secara sah”.

“Ini bukan ‘pengecualian’, tetapi aliran utama pendidikan antarabangsa,” katanya.

Katanya lagi, sokongan sekian lama Unesco terhadap pendidikan berbilang bahasa berasaskan bahasa ibunda menekankan manfaatnya dalam prestasi akademik, perkembangan kognitif, dan integrasi sosial.

“Oleh itu, dakwaan Akmal bahawa hanya Malaysia membenarkan pendidikan berasaskan bahasa ibunda bukan sahaja salah, malah menunjukkan dia malah kekurangan pemikiran rasional minimum mengenai pendidikan antarabangsa,” kata Howard.

Berhubung kewibawaan UEC, Howard berkata sijil itu diiktiraf lebih 300 universiti di seluruh dunia, termasuk Oxford, Cambridge, Melbourne, Universiti Nasional Singapura dan universiti terkemuka di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, dan Korea Selatan.

Katanya lagi, universiti swasta di Malaysia juga telah menerima pemegang sijil UEC selama lebih dua dekad.

“Universiti terkemuka dunia menganggap UEC berwibawa dan sah, tetapi Akmal mendakwa UEC tidak memuaskan. Masalahnya pada UEC atau pada dia? Jawapannya jelas di sini,” katanya.

Pada Selasa lalu, Malaysiakini melaporkan yang kenyataan terbaru Nga mengenai UEC kembali mencetuskan kecaman terhadap DAP, dengan dakwaan parti itu ingin melemahkan orang Melayu.

Kenyataannya itu diterjemahkan di media sosial Melayu sebagai tekanan DAP terhadap Anwar, sekali gus membangkitkan reaksi negatif.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke kemudian cuba memperbetulkan naratif mengenai UEC sebagai sesuatu yang melengkapi usaha memartabatkan bahasa Melayu.

‘PAS dan BN pun sokong sebelum ini’

Sementara itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pemuda, Syaheera Ghafar, mempersoalkan kemarahan yang tercetus setiap kali parti itu mengulangi seruan pengiktirafan UEC.

Syaheera menekankan Malaysia sudah mengiktiraf peperiksaan kelayakan antarabangsa seperti O-Level yang dikeluarkan oleh Cambridge Assessment International Education (CAIE) dan Pearson Edexcel, serta Sijil Pendidikan Menengah Umum (GCSE) di United Kingdom.

“jika antara isu utama UEC ditolak adalah kerana ia boleh mencetuskan masalah integrasi kaum kerana bahasa pengantar, mengapa O-Level dan GSCE tidak dibangkang sekuat ini?” soalnya dalam kenyataan.

Penolong Setiausaha Agung DAP Lee Chin Chen pula menyifatkan ahli politik yang menentang pengiktirafan UEC bersikap hipokrit, dengan membangkitkan bahawa beberapa gabungan politik sebelum ini menyokong perkara itu.

Katanya, PAS pernah menyokong pengiktirafan UEC dalam rangka dasar bersama Pakatan Rakyat pada 2013, Bersatu pula menyokongnya dalam rangka PH pada 2018, dan BN memasukkan janji yang sama dalam manifesto PRU 2018.

“Ini bermakna hampir semua parti utama kerajaan dan pembangkang telah menyokong secara prinsip pengiktirafan UEC. Oleh itu, tiada sesiapa yang menentang UEC secara prinsip.

Justeru, Lee menggesa agar kerajaan dan pembangkang untuk bergerak ke hadapan dan berhenti mengeksploitasi isu UEC dan memberi ruang agar perkara itu dikaji secara profesional.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS