Kelambatan siasatan kes seorang pemandu lori meninggal dunia ketika dalam tahanan polis “tidak boleh diterima,” kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Dalam kenyataan hari ini, Gobind berkata dia bercadang untuk bertemu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bagi membincangkan reformasi dalam pengendalian kes seumpama itu.
Dia yang juga seorang peguam mempersoalkan mengapa polis masih belum menghubungi balu si mati, S Rajeswari, untuk memaklumkan perkembangan kes tersebut walaupun sudah sembilan bulan berlalu sejak kematiannya.
Dia turut menegaskan Peguam Negara pada 6 Disember lalu telah mengarahkan polis untuk melengkapkan siasatan tanpa sebarang kelewatan.
“Ini tidak boleh diterima. Undang-undang bagi kes kematian dalam tahanan polis adalah jelas. Siasatan mesti dijalankan untuk menentukan punca kematian dan tindakan seterusnya mesti diambil.
“Ketua Polis Negara mesti menjelaskan kelambatan dalam kes ini. Sudah sembilan bulan berlalu. Polis mesti siapkan laporan dan serahkan kepada Peguam Negara seperti yang diarahkan tanpa sebarang kelewatan lagi,” katanya.
Pada 3 Disember lalu, Malaysiakini melaporkan suami Rajeswari, Manisegaran Mohan, 41, didakwa meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan selepas ditahan di Balai Polis Bandar Sunway, Petaling Jaya, awal tahun ini.

Apabila dibenarkan melihat suaminya, Rajeswari mendakwa melihat kecederaan di dada, dua gigi patah, dan ada darah di mata.
Dia juga mendakwa laporan bedah siasat memberikan penjelasan yang bercanggah, termasuk kemungkinan berlaku serangan jantung, penggunaan dadah, dan cecair di paru-paru.
Namun, katanya lagi, dalam sijil kematian punca kematian hanya mencatatkan pending further investigation(menunggu siasatan lanjut).
Selepas penantian sembilan bulan, Rajeswari merayu Saifuddin untuk campur tangan untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada suaminya.
Walaupun dengan arahan Pejabat Peguam Negara agar polis menyiapkan siasatan, Rajeswari mendakwa setakat 13 Disember (hari ini), pihak berkuasa masih belum menghubunginya.
Reformasi diperlukan
Mengulas kekecewaan Rajeswari, Gobind berkata inilah sebabnya reformasi perlu dilakukan terhadap prosedur bagi kes-kes seumpama itu.
“Mesti ada garis masa yang ketat bagi setiap langkah yang perlu diambil selepas laporan seperti ini dibuat atau maklumat tentang kejadian diterima.
“Jika berlaku kegagalan oleh mana-mana pegawai untuk mematuhi arahan ini, tindakan mesti diambil, sama ada terhadap pegawai berkenaan kerana tidak ingkar, atau dia diganti (dengan pegawai lain) bagi memastikan siasatan berjalan tanpa sebarang kelambatan.
“Kelambatan membawa kepada ketidakadilan. Ia akan menjejaskan siasatan, saksi, dan bukti yang diperlukan dalam kes itu,” katanya.
