Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman untuk melengkapkan laporan siasatan berkaitan kematian Manisegaran Mohan dalam masa terdekat.
“Ini bagi membolehkan kes tersebut dapat dirujuk ke Mahkamah Koroner bagi mengenal pasti punca dan sebab kematian.
“Laporan penuh siasatan dijangka akan dirujuk kepada jabatan ini dalam masa terdekat,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Manisegaran, seorang pemandu lori berusia 41 tahun, didakwa meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan selepas ditahan di Balai Polis Bandar Sunway, Petaling Jaya, awal tahun ini.
Menurut isterinya, S Rajeswari, Manisegaran ditahan atas sebab yang tidak didedahkan dan pada awalnya dia dilarang masuk ke balai polis, dengan pegawai polis bertegas meminta Rajeswari menunggu di luar.
Tidak lama kemudian, dia melihat sebuah ambulans tiba, membawa suaminya masuk ke dalam kenderaan tersebut menggunakan pengusung.
Dia turut menyatakan bahawa pegawai polis menolak permintaannya untuk menaiki ambulans.

Hampir sejam kemudian, seorang pegawai memaklumkan bahawa suaminya telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC).
Rajeswari kemudian dimaklumkan bahawa suaminya telah meninggal dunia.
Dia juga mendakwa bahawa doktor yang melakukan bedah siasat ke atas suaminya memberi sebab yang bercanggah, sehingga Rajeswari enggan menandatangani sebarang dokumen kerana tidak berpuas hati.

Dua hari lalu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menyeru AGC menjelaskan dakwaan bahawa pihak berkuasa gagal menyiasat kematian Manisegaran, sembilan bulan selepas insiden berlaku.
"Saya rasa elok untuk Peguam Negara memberitahu kenapa tidak ada tindakan yang diambil, khususnya kerana beliau merupakan penjaga kepentingan awam (custodian of public interest),"
Gobind yang merupakan seorang peguam senior menegaskan bahawa kematian dalam tahanan mesti disiasat seperti yang termaktub di bawah Seksyen 334 Kanun Tatacara Jenayah.
"Kalau berlaku satu kematian dalam tahanan polis, undang-undang menyatakan bahawa satu penyiasatan diperlukan," tegasnya.
