Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi, mempersoalkan kerjasama berterusan antara Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, susulan tuduhan serius bekas perdana menteri itu bahawa presiden Bersatu mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah.
Menurut Puad, tuduhan sedemikian adalah berat dan memalukan, namun sehingga kini Muhyiddin dilihat tidak mengambil tindakan saman terhadap Mahathir.

“Menuduh Muhyiddin curi duit parti dan simpan di rumah adalah berat. Benar benar memalukan Muhyiddin.
“Muhyiddin tidak akan saman Mahathir. Apakah itu bermakna Muhyiddin terdesak minta tolong Mahathir untuk menang Pilihan Raya Umum ke-16?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini tular satu klip video yang tersebar disertakan kapsyen mendakwa Mahathir membongkar kononnya Muhyiddin mahu menjadi perdana menteri kerana takut dipenjarakan.
Dalam rakaman itu, Mahathir kedengaran berkata seseorang “ada masalah” dan “mahu jadi perdana menteri bukan untuk berkhidmat” tetapi kerana bimbang masuk penjara.
“Pasai (pasal) kalau dia tak jadi PM, ada kemungkinan dia masuk dalam (penjara) pasal dia pun curi duit. Saya tahu.
“Duit parti, duit bagi kepada parti dia tak bagi pada parti, dia simpan di rumah dia dan duit tu la dia belanja,” katanya — tanpa menyebut sebarang nama.

Bagaimanapun Pemuda Bersatu (Armada) Johor mendakwa pihak tertentu telah “memanipulasi” rakaman video pertemuan mereka di Putrajaya awal minggu lalu.
Ketua Armada Johor Alias Rasman mendakwa Mahathir sebenarnya merujuk kepada individu lain, bukan Muhyiddin.
Muhyiddin pada 13 Disember lalu tampil menafikan dakwaan Mahathir bahawa dia mencuri wang daripada parti itu seperti yang disebut.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah video yang tular bahawa saya telah mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah saya.
"Ini adalah tuduhan liar berbentuk sangkaan yang amat tidak berasas sama sekali.
"Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung," kata Muhyiddin dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial.

Puad dalam hantaran hari ini turut mempersoalkan maruah Mahathir sekiranya dia masih bekerjasama dengan individu yang dituduhnya sebagai pencuri. Malah, beliau mengingatkan bahawa dalam rakaman video sama, Mahathir sendiri menegur Muhyiddin kerana bekerjasama dengan bekas presiden Umno Najib Razak.
Dalam perkembangan sama, pempimpin Umno itu juga membangkitkan persoalan mengenai pendirian Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin dan kumpulannya, dengan menyifatkan isu tersebut berpotensi menjadi “senjata” untuk menggulingkan kepimpinan Muhyiddin.
Puad berpandangan, hubungan politik antara Mahathir dan Muhyiddin hanya menjadikan landskap politik negara semakin toksik, sarat dengan tuduhan peribadi dan percaturan kuasa tanpa prinsip.

“Mahathir dan Muhyiddin menjadikan politik Malaysia semakin toksik. Dua-dua kena berundur,” katanya lagi.
