Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuduhan curi wang - Bersatu saran pertemuan Muhyiddin-Mahathir
Diterbitkan:  Dec 15, 2025 4:29 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz hari ini tampil mencadangkan supaya pertemuan empat mata diadakan antara Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad berhubung tuduhan bahawa presiden Bersatu itu mencuri wang parti.

Katanya, tindakan sedemikian bagi mengelak sebarang kekeliruan, lebih-lebih lagi apabila perkara ini tidak pernah dibangkitkan oleh Dr Mahathir dalam begitu banyak pertemuan mereka sebelum ini.

"Justeru, adalah lebih wajar perkara ini diperjelaskan melalui pertemuan empat mata antara kedua-dua tokoh ini bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan.

"Berdasarkan kenyataan Muhyiddin, saya berpandangan, kenyataan itu adalah cerminan jiwa besar Muhyiddin yang mahu agenda penyatuan ummah, agenda rakyat serta agenda penting untuk menyelamatkan negara ini dari kerosakan di bawah pentadbiran PM10 ini.

“Beliau tidak mahu agenda besar dan penting ini terjejas akibat salah faham yang boleh dirungkaikan dengan lebih baik secara empat mata," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dia turut mempertahankan presiden parti itu daripada tuduhan mencuri wang Bersatu.

Katanya, dakwaan itu jelas bercanggah dengan prinsip yang dipegang oleh Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri, iaitu segala sumbangan politik disalurkan terus ke akaun parti dan diurus secara telus oleh bendahari.

"Jika beliau berniat untuk menyeleweng dana parti, sudah tentu duit itu boleh disimpan di rumah, di 'safe house', di dalam almari, di dalam akaun peribadi atau di dalam akaun syarikat beliau ketika beliau memegang kuasa sebagai perdana menteri, namun ia tidak berlaku.

"Dakwaan bahawa beliau mahu menjadi perdana menteri semata-mata untuk mengelakkan dipenjara juga tidak munasabah. Muhyiddin sendiri pernah menyatakan hasrat untuk tidak lagi bertanding sebagai presiden Bersatu pada tahun 2023.

"Sekiranya benar dakwaan bahawa beliau takut dipenjarakan, bukankah tidak logik untuk beliau melepaskan jawatan presiden ketika itu? Bukankah lebih baik jika beliau mengikut jejak langkah presiden parti tertentu?" soalnya.

Sebelum ini, pada 13 Dis lalu Muhyiddin menafikan dakwaan bahawa dia mencuri wang daripada parti itu seperti yang disebut dalam klip video yang tular.

Penafian turut dibuat oleh Pemuda Bersatu (Armada) Johor yang mendakwa pihak tertentu telah “memanipulasi” rakaman video pertemuan mereka dengan Dr Mahathir di Putrajaya awal minggu lalu.

Ketua Armada Johor Alias Rasman berkata, Mahathir sebenarnya merujuk kepada individu lain, bukan Muhyiddin.

Dakwanya, video tersebut telah “disunting” demi kepentingan politik pihak tertentu.

Alias juga berkata dia mengenali individu yang menghasilkan klip tersebut dan akan memfailkan tindakan undang-undang sivil terhadapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS