Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jabatan veterinar siasat dakwaan pengabaian haiwan
Diterbitkan:  Dec 18, 2025 11:53 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS) telah memulakan siasatan terhadap kejadian pengabaian haiwan di sebuah klinik haiwan swasta di Damansara Damai, Petaling Jaya.

Jabatan itu memaklumkan telah menerima aduan rasmi mengenai perkara itu dan telah menghantar sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan (PKH) DVS Selangor untuk menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian pada 12.30 tengah hari semalam.

"Hasil pemeriksan oleh PKH mendapati terdapat satu ekor karkas anjing dan satu ekor karkas kucing diletakkan di dua buah sangkar haiwan yang berasingan di sekitar lokasi kejadian.

"Berdasarkan pemeriksaan awal ke atas karkas haiwan ini, ia dianggarkan telah mati sejak 1 atau 2 minggu yang lalu,” menurut kenyataan jabatan itu malam tadi.

Pegawai PKH kemudiannya telah mengambil bangkai haiwan dan sangkar tersebut untuk pemeriksaan serta siasatan lanjut.

Terdahulu, video mengenai kejadian itu tular di media sosial.

DVS Selangor memaklumkan kes disiasat di bawah subseksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772].

Sekiranya sabit kesalahan mereka yang bertanggungjawab boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Semalam, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) membangkitkan kes pengabaian haiwan yang disifatkan “teruk dan tragik” di klinik haiwan swasta tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS